Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan tujuan beliau memuat naik insiden beliau terjatuh ketika berbasikal menerusi laman Twitter adalah untuk memberi peringatan kepada pengguna jalan lain.
Namun, Ahli Parlimen Rembau itu tidak menyangka perkongsian ciapan Twitter beliau itu mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Niat saya semalam memuat naik insiden ini di Twitter ialah untuk beri peringatan kepada pengguna jalan lain, namun ia nampaknya mendapat perhatian JKR,” kata Khairy.
“Saya berterima kasih kepada JKR kerana peka dengan isu ini, tetapi janganlah hanya disebabkan saya menteri, baru nak ambil berat.
“Tetapi yang penting, kalau sudah berlubang, janganlah berhari-hari atau kena tunggu terlalu lama untuk turap semula,” tambahnya.
Pothole, ditch, KJ. 2020 keeps giving. https://t.co/BjZHuo4cvP pic.twitter.com/WZJJn1q8X0
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) December 27, 2020
Baru-baru ini, Khairy Jamaluddin cedera ringan selepas terjatuh dari basikal, akibat terlanggar lubang jalan ketika berbasikal berhampiran Kampung Sri Cheeding, Banting, Selangor.
Mengulas lanjut, Khairy mengakui beliau tidak nampak lubang yang wujud pada jalan berkenaan.
“Kalau kita nampak, boleh elak. Tetapi saya yang berbasikal, dengan kelajuan maksimum 40 kilometer sejam pun tak nampak. Apatah lagi penunggang motosikal?” kata Khairy.
“Jadi, saya ambil pandangan positif maklum balas pelbagai pihak yang ingin saya kemalangan ketika melalui kawasan mereka supaya tindakan segera dapat diambil.
“Isu pokoknya, masalah jalan berlubang ini memerlukan penyelesaian segera kerana ia dekat di hati rakyat,” tambahnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar