Sambutan menggalakkan untuk Toyota GR Yaris dan Vios GR-Sport

2011

Toyota GR Yaris dan Vios GR-Sport menjadi penutup tirai 2020 untuk UMW Toyota dengan satu pelancaran yang cukup bermakna.

Dua jentera dengan aspirasi sukan permotoran. GR Yaris yang merupakan model homologasi jalanan untuk berentap dalam World Rally Championship (WRC), sementara Vios GR-Sport pula edisi istimewa yang dibangunkan di Malaysia.



Berharga RM95,284, Vios ini bukanlah GR-Sport dengan kosmetik semata-mata, ia turut mendapat pakej khas merangkumi talaan CVT 10-kelajuan dan suspensi lebih sporti.

Sebanyak 25,000 unit Toyota GR Yaris akan dibina secara global, dan 200 unit telah dikhaskan untuk pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga RM299,000, datang dengan Performance Pack, enjin 1.6-liter yang cukup berkuasa, transmisi manual 6-kelajuan, dan sistem pacuan semua-roda GR Four yang unik.

Kedua-dua model ini juga tidak dijual di bilik pameran Toyota biasa, sebaliknya hanya di GR Garage, bersama model Supra.

Menurut UMW Toyota, GR Yaris dan Vios GR-Sport kedua-duanya mendapat sambutan menggalakkan dan di luar jangkaan setakat ini.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, “Walaupun 2020 cukup mencabar, kami tetap gembira dapat membawakan keterujaan kepada pasaran Malaysia.

“Barisan model kami telah diperluaskan dengan tambahan model dan varian untuk setiap keperluan. Dan seperti biasa, kami menawarkan nilai terbaik untuk wang dan memudahkan urusan pembelian kenderaan Toyota baharu dengan pilihan skim-skim pembiayaan,” tambahnya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

Toyota GR Yaris

Toyota Vios GR-Sport

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here