Pihak polis menahan seorang pemandu treler berusia 28 tahun selepas melanggar sebahagian struktur khemah sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Chain Ferry, Butterworth, Pulau Pinang.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada pegawai dan anggota yang sedang bertugas.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kejadian berlaku selepas treler 26 tayar itu dalam perjalanan dari sebuah kilang besi di Perai dekat sini menuju ke sebuah bengkel tayar.
Tambahnya, siasatan awal mendapati pemandu itu baru selesai menghantar muatan dari Johor Baharu, Johor sebelum menuju ke bengkel tayar berkenaan.
“Dia yang melalui SJR berkenaan tidak menggunakan laluan khas, sebaliknya melalui lorong kenderaan awam di sebelah kiri sebelum sebahagian badan treler sebelah kiri berlanggar dan bergesel dengan khemah anggota yang bertugas di SJR berkenaan,” kata Noorzainy.
Menurut Noorzainy, ekoran kejadian itu, polis menahan pemandu berkenaan yang mempunyai lapan rekod kesalahan lampau termasuk empat berkaitan dadah bagi siasatan lanjut.
“Ujian air kencing mendapati pemandu itu negatif sebarang bahan terlarang, namun dia didapati tiada lesen memandu kelas E yang sah,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar