Berhenti di lampu isyarat, perlu masuk N atau biar pada D? Ini panduan untuk automatik dan manual

11789

Dalam kita memandu seharian, pasti akan ada kita berhenti dengan tempoh agak lama seperti di lampu isyarat, keluar dari simpang yang sibuk atau dalam kesesakan jalan raya.

Dan dalam situasi ini, timbul satu persoaalan: Nak masuk gear N atau biar pada D?



Penulis tidak pasti dengan kurikulum sekolah memandu sekarang, tetapi seingat penulis, perkara ini tidak diajar dengan terperinci semasa mengambil lesen.

Jadi tidak mustahil ia sentiasa menjadi pertanyaan atau topik perbualan sama ada di kedai kopi, media sosial atau forum-forum pemilik kereta.

Baik, jadi kami akan cuba menjawab persoalan ini dan kongsikan tips untuk merungkai topik bermusim ini.

Komponen dalam drivetrain

Sebelum itu, kita ketahui dahulu beberapa komponen utama dalam sistem pacuan drivetrain kenderaan, iaitu enjin, klac, transmisi dan roda (tayar dan rim). Kesemua komponen utama ini terdapat dalam kenderaan lazim, tidak kira sama ada ia menggunakan transmisi automatik atau manual.

Kenderaan lazim di sini bermaksud yang menggunakan enjin pembakaran dalaman biasa (internal combustion). Ini kerana kereta elektrik contohnya tidak mempunyai enjin dan kotak gear (kebanyakan) dan mempunyai drivetrain berbeza.

Apa yang perlu diambil kira?

Baik, sebelum menentukan sama ada kita perlu masuk N (neutral) atau kekal dalam D (dalam gear), kenal pasti dahulu berapa lama kita akan berhenti.

Sebenarnya jika sekejap sahaja, memadai untuk kekal dalam gear. Jika terlalu lama, barulah tukar kepada neutral. Tetapi, terlalu lama itu pula bagaimana?

Dalam pemanduan sebenarnya kita perlu banyak gunakan common sense. Sebagai contoh masuk simpang, tukar lorong, common sense digunakan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.

Begitu juga common sense semasa berhenti. Jika anda rasa satu atau dua minit itu cukup lama, anda bolehlah masuk kepada neutral. Ada yang ‘rajin’ menekan brek, dia mahu tunggu sahaja dalam gear walaupun lampu isyarat menunjukkan countdown 199 saat.

Automatik (AT, CVT, DCT)

Untuk automatik, kita kumpulkan semua jenis torque-converter AT, Continuously Variable Transmission (CVT) dan dwi-klac (DCT) dalam satu kategori. Ini kerana cara pemanduannya dalam situasi ini hampir sama.

Bagi automatik, tidak mengapa untuk meninggalkan dalam gear D semasa berhenti. Tiada masalah pelapik brek (brake pad) haus kerana brek hanya ‘memegang’ kereta dalam keadaan pegun. Apabila tidak bergerak, tiada geseran pada pelapik dengan cakera, maka tiada isu haus di sini.

Cuma apabila berhenti dalam gear, enjin tetap berpusing dan ini memberikan geseran pada klac. Sebab itulah kereta automatik boleh creep atau bergerak perlahan ke depan bila masuk gear dan brek dilepaskan.

Walaupun geseran klac ini sangat kecil dan hampir boleh diendahkan, amalan ini selama bertahun-tahun pasti menyebabkan klac anda perlu diganti lebih awal berbanding mereka yang rajin masuk gear neutral semasa berhenti. Lagi sekali, semuanya terpulang kepada anda.

Begitu juga jika anda menggunakan fungsi Auto Hold dimana anda tidak perlu menekan brek dan kereta akan tetap berhenti melainkan anda kembali menekan pedal minyak, ia tetap memberikan wear pada klac.

Cuma, sama seperti artikel pemanduan turun bukit yang kami tulis sebelum ini, ada transmisi automatik moden yang cukup bijak menyesuaikan keadaan dengan situasi pemanduan.

Transmisi automatik ini akan mengesan sekiranya kenderaan berhenti sepenuhnya, ia akan disengage klac sendiri walaupun tombol gear anda masih pada D. Bagaimana hendak tahu ciri ini?

Anda boleh lihat meter rpm dalam kereta ini menunjukkan tahap pusingan sama sahaja dalam gear N atau D, itu bermakna klac dipisahkan secara automatik. Untuk transmisi automatik biasa, rpm-nya lebih rendah jika berhenti dalam D.

Baik, jika anda rajin masuk neutral pun tiada masalah. Tidak ada isu tombol gear cepat rosak atau cepat haus kerana ianya bukan komponen kritikal. Cuma janganlah sekadar berhenti 10 saat pun mahu masuk neutral, itu mengada namanya!

Manual

 

Untuk manual pula, konsepnya hampir sama, cuma semuanya dibuat ‘secara manual’. Jika berhenti sekejap, memadai untuk kekal dalam gear dan tekan pedal klac.

Jika lebih lama melebih 30 saat misalnya, lebih baik masuk neutral dahulu untuk menjaga jangka hayat klac.

Tarik handbrake?

Oh ya, satu lagi persoalan, bila dah free gear atau masuk neutral, perlu tarik handbrake atau brek parkir? Tiada masalah juga.

Bagi penulis secara peribadi, sama ada memandu kereta automatik atau manual, jika penulis meletakkan dalam N atau neutral, penulis hanya letak kaki di pedal brek. Letak sekadar beri sedikit tekanan, bukan agak kuat seperti membrek hendak memberhentikan kenderaan.

Melainkan jika berhenti di kawasan berbukit, barulah penulis tarik handbrake atau brek parkir.

Harap perkongsian ini menjawab persoalan anda. Jika bermanfaat, sudi-sudilah kongsikan.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here