SSC Tuatara cuba lagi buat ujian top speed, kali ini dipandu oleh pemilik sendiri!

3037

SSC telah menjalankan sekali lagi percubaan rekod kelajuannya dengan hypercar Tuatara berkuasa 1,750hp selepas pengesahan cubaan itu Oktober lepas.

Pengeluar Amerika Syarikat itu kini mendakwa telah mencipta rekod dua arah dengan purata 282.9 batu sejam (455.2km/j) pada 17 Januari lepas. Rekod itu dibuat di Johnny Bohmer Proving Ground berdekatan Kennedy Space Centre, Florida.



Kelajuan maksima yang dicapai pada arah Utara adalah 279.9 batu sejam (450.46km/j), meningkat kepada 286.1 batu sejam (460.43 km/j) pada arah Selatan.

Walaupun kelajuan ini jauh lebih rendah dari purata 316.11 batu sejam (508.7km/j) yang dibuat di Nevada tahun lepas, ini cukup untuk mengatasi rekod yang dicipta oleh Koenigsegg Agera RS pada 2017. Agera mencatat kelajuan 277.9 batu sejam (447.24km/j) yang menjadikannya kereta terpantas di dunia pada Tmasa itu.

Apa yang membuatkan percubaan kali ini lebih unik ialah ia tidak dipandu oleh pelumba British, Oliver Webb seperti di Nevada, sebaliknya ia dipandu oleh pemilik kereta itu sendiri, usahawan Dr Larry Caplin.

Kali ini, kelajuan disahkan menggunakan beberapa sistem perakam kelajuan GPS yang dibekalkan oleh Racelogic, Life Racing, Garmin dan IMRA.

Ruang pula hanyalah sepanjang 2.3 batu (3.7km) berbanding lebih 7 batu (11.2km) di Nevada. Tetapi kelajuan maksima 460km/j telah dicapai dalam jarak 1.9 batu (3km) sahaja.

SSC mendakwa ia mencapai 244 batu sejam (392.68km/j) dalam jarak sebatu sahaja, dan memecut dari 274 ke 286 batu sejam dalam masa cuma 2.87 saat.

“Kami menggunakan pendekatan berbeza kali ini dalam memecut kereta itu ke kelajuan lebih tinggi,” kata CEO SSC, Jarod Shelby.

“Larry Caplin, yang memiliki kereta itu, menggunakan cara ‘drag race’ untuk memecut dengan menekan habis pedal minyak dan boost selama 40 hingga 50 saat.”

“Pada Oktober lepas, kami mencapai kelajuan itu dengan lebih lambat dan hanya menekan pedal minyak sehabisnya 20 hingga 25 saat sahaja semasa pecutan. Larry membuat pecutan dalam keadaan empat kali lebih sukar berbanding semasa di Nevada.”

SSC Tuatara ialah jentera dua-tempat duduk berenjin tengah buatan Amerika Syarikat (AS) yang dikuasakan enjin 5.9-liter twin-turbo V8. Ia menghasilkan 1,750hp dengan bahan api E85.

Ia hanya seberat 1,247kg hasil dari penggunaan bahan gentian karbon, dan hanya mempunyai pekali seretan (drag coefficient) sebanyak 0.279.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here