Syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan bunyi dentuman kuat serta gegaran yang berlaku di Sabah semalam berpunca daripada operasi syarikat itu.
Menurut kenyataan Petronas semalam, semua pekerja dan asetnya di Sabah selamat, sementara operasi harian berjalan seperti biasa.
“Sebagai menjawab laporan berita pada 31 Jan (semalam) yang menyatakan bunyi dentuman kuat serta gegaran yang berlaku di Sabah mungkin ada kaitan dengan operasi Petronas, kami ingin mengesahkan kejadian itu bukan berpunca daripada mana-mana operasi kami di Sabah,” kata Petronas.
“Petronas juga memberi jaminan kepada masyarakat dan pemegang taruhnya bahawa aspek keselamatan amat diutamakan dalam semua operasinya bagi memastikan keselamatan orang awam dan alam sekitar terjamin, selaras dengan peruntukan undang-undang dan piawaian yang ditetapkan,” tambahnya.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata tidak ada sebarang aktiviti pelupusan dan letupan bom dilakukan di kawasan itu selain turut meminta agar pengesahan dibuat dengan Petronas sekiranya bunyi letupan tersebut berpunca daripada kegiatan industri petroleum.
Bunyi dentuman serta gegaran itu didengari dan dirasai oleh penduduk di Sipitang serta beberapa tempat lain termasuk Beaufort dan Labuan serta Brunei.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar