Lebih 1,000 pemandu bas ekspres berdaftar di bawah Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) merayu bantuan khas kerajaan akibat kehilangan sumber pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
Menurut Presiden PPBSM, Saadan Man, pihaknya kecewa selepas pemandu bas tercicir dalam senarai penerima pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
“Ramai pemandu bas ekspres langsung tidak menerima gaji dan ramai terpaksa membuat kerja kampung demi mencari rezeki untuk keluarga,” kata Saadan.
“Kami harap kerajaan dapat mempertimbang bantuan kepada pemandu bas dan PPBSM sedia menyediakan senarai pemandu yang layak menerimanya,” tambahnya.
Lanjut Saadan, pihaknya sudah menghantar surat kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pada 25 Januari lalu, mengenai isu keciciran bantuan PERMAI.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar