Cubaan dua lelaki merentas negeri untuk pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina dengan menaiki bas membawa padah apabila mereka dikenakan kompaun masing-masing RM1,000.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar, kedua-dua lelaki berumur 21 dan 29 tahun itu didapati gagal mengemukakan dokumen rentas negeri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Asap di sini semalam.
“Kira-kira pukul 12.40 tengah hari semalam, pasukan pemantau Op Covid-19 telah membuat pemeriksaan mengejut ke atas sebuah pengangkutan awam dari Selangor menuju ke Kelantan di SJR Kampung Asap di Kilometer 12 Jalan Bentong-Raub,” kata Zaiham.
“Seramai 23 penumpang telah diperiksa dan didapati dua warganegara tempatan tidak mempunyai dokumen rentas negeri yang sah daripada polis,” tambahnya.
Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Pihak polis akan mempertingkatkan pemeriksaan ke atas pengangkutan awam khususnya bas ekspres kerana didapati digunakan oleh mereka yang nekad merentas negeri tanpa ada kebenaran polis,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 22 Januari hingga 12 Februari lalu sebanyak 154 kenderaan dan 177 individu serta 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pasca banjir diarahkan berpatah balik.
Katanya, dalam tempoh 18 Mac 2020 sehingga 12 Februari 2021 pula Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong telah mengeluarkan sebanyak 177 kompaun kerana ingkar SOP yang ditetapkan,” lanjut Zaiham.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar