Empat model edisi terhad akan dilancar Proton, unit mulai tiba di bilik pameran

1440

Proton mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan bukan satu atau dua, tetapi empat model edisi terhad!

Akan dilancarkan secara maya pada pagi Khamis (18 Februari 2021), pengumuman ini sebenarnya agak mengejutkan.



Ini kerana menurut laporan kami sebelum ini, ada kelihatan model Proton Saga edisi R3 yang tersebar imejnya di media sosial. Begitu juga dengan berita mengenai Proton Iriz yang dikatakan akan turut menerima edisi R3.

Jadi, kejutan atau penambahan dari pengumuman ini adalah berkenaan Proton Persona dan Exora yang akan menyertai pelancaran itu. Kedua-dua model ini akan dinamakan Black Edition.

Sementara itu, Funtasticko.net melaporkan bahawa unit-unit edisi terhad ini telah mula tiba di bilik-bilik pameran.

Berkenaan Proton Saga R3 Limited Edition, ia akan mendapat warna badan hitam dengan kemasan kuning. Begitu juga di bahagian dalam, terdapat kemasan dan jahitan kuning pada beberapa kawasan seperti kluster meter, pendingin hawa dan unit infotainmen lengkap dengan grafik R3.

Proton Iriz R3 Limited Edition pula akan menampilkan pelekat grafik R3 pada cermin depan dan belakang serta sisi badan, kemasan gelap pada gril, dan rim bersaiz 16-inci dengan rekaan seperti pada Proton Satria Neo CPS.

Kemasan kuning turut diteruskan pada bahagian dalam Iriz R3 LE ini, seperti pada pendingin hawa, lingkaran meter, butang kawalan, dan jahitan pada roda stereng.

Malangnya kami tidak dapat melihat dengan jelas Persona dan Exora. Tapi yang pasti, semua model ini berwarna hitam.

Kami jangkakan tiada perubahan pada enjin, transmisi dan talaan suspensi memandangkan ia akan menelan kos yang besar dan memakan masa lama untuk tujuan homologasi dan sebagainya.

Lagipun nama Saga dan Iriz itu adalah “R3 Limited Edition”, jadi kami yakin ia hanya perubahan kosmetik. Ini kerana kebanyakan model-model prestasi Proton sebelum ini hanya membawa nama “R3” sahaja.

Berminat dengan model-model edisi terhad ini? Anda boleh mula daftarkan minat anda di laman web Proton di sini.

Tahun lepas, Proton telah memperkenalkan Proton Saga Anniversary Edition bersempena ulangtahun pengeluar nasional itu yang ke-35.

Layari laman Facebook rasmi Proton iaitu ProtonCarsOfficial untuk sama-sama menyaksikan pelancaran empat model itu nanti.

Sumber dan imej: Funtasticko.net

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here