Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis mengutip hasil bidaan sebanyak RM3.48 juta bagi nombor pendaftaran RAJ sepanjang tempoh lima hari bermula pada 18 Februari lalu.
Menurut Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah, berdasarkan rekod, nilai tertinggi bagi siri nombor itu adalah bagi pendaftaran RAJ 1 dengan bidaan RM202,670.
“JPJ Perlis membuka siri pendaftaran ini hingga 22 Februari lalu dan menerima pembida sebanyak 4,026 dengan jumlah bidaan sebanyak RM 3,486,332,” kata Fatimah.
“Selain RAJ 1 yang mendapat sambutan tertinggi, plat RAJ 5 juga mencatat jumlah bidaan kedua tertinggi sebanyak RM 101,780 dan diikuti RAJ 3 sebanyak RM 81,000,” tambahnya.
Jumlah pembida yang berjaya dalam siri nombor pendaftaran berkenaan adalah seramai 2,333 orang.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut melancarkan siri nombor pendaftaran khas universiti berkenaan, semalam.
Siri UR1 hingga UR9999 boleh dibida bermula hari ini hingga 4 Mac hadapan.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad, walaupun UniMAP bukanlah universiti pertama yang melancarkan nombor pendaftaran khas ini, ia tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri.
“Kombinasi kedua huruf UR ini diambil bagi mewakili huruf U yang juga adalah awalan perkataan UniMAP manakala R adalah nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi negeri Perlis yang juga identiti negeri Perlis,” katanya.
UniMAP menyasarkan penjualan siri nombor pendaftaran berkenaan mampu mencecah RM10 juta dan proses bidaan dikendalikan oleh syarikat yang dilantik, Aquatwo Sdn Bhd.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar