Pura-pura pandu uji, kemudian larikan Perodua Axia!

1892

Berpura-pura sebagai pelanggan dan mahu pandu uji kereta yang ingin dilarikan, itu taktik licik seorang lelaki sebelum melarikan sebuah Perodua Axia dalam kejadian berdekatan sebuah pusat jualan kereta terpakai di Jalan Kampar, Ipoh, pada Selasa.

memandu uji perodua axia

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, suspek mendatangi jurujual wanita berusia 25 tahun di premis itu kononnya untuk membeli Perodua Myvi.



Bagaimanapun, dia meminta untuk pandu uji Perodua Axia yang kemudiannya disyorkan oleh mangsa.

Beliau berkata, jurujual wanita itu sempat membuat kiraan mengenai bayaran ansuran kenderaan yang disyorkannya namun tidak mencatit sebarang butiran mengenai suspek sebelum bersetuju membenarkan kenderaan itu dipandu uji.

“Mangsa duduk di bahagian penumpang belakang ketika suspek memandu kereta. Mereka sempat berhenti untuk mengisi minyak, sebelum mangsa memberitahu dia perlu pulang semula ke pusat jualan dan dituruti suspek,” kata A Asmadi.

“Namun suspek tidak berhenti ketika melintasi premis menjual kereta terbabit sebaliknya berhenti di satu simpang berdekatan kononnya disebabkan terlajak.

“Suspek kemudian meminta mangsa memandu kereta itu dan sejurus mangsa turun dari kereta, suspek terus memecut dan melarikan kereta itu,” tambahnya.

Lanjut A Asmadi, ketika kejadian suspek memakai pelitup muka selain mangsa mendakwa tidak dapat mengenal pasti wajah suspek.

Beliau berkata, Perodua Axia 1.0 G Auto yang dilarikan itu bernilai RM24,000 (harga terpakai) dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Harga baharu untuk model ini menurut laman web rasmi Perodua ialah sekitar RM32,000.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here