Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan XC40 Recharge T5 secara maya di laman Facebook mereka. Recharge T5 merupakan varian PHEV (plug-in hybrid) untuk XC40 yang kita semua tahu.
Pengenalan ini juga bermakna Volvo Car Malaysia kini satu-satunya jenama automotif di Malaysia yang menawarkan kereta pemasangan tempatan (CKD) bagi kesemua barisan PHEV mereka.
Volvo XC40 Recharge T5 dijual pada harga RM255,888, tetapi kini dikurangkan menjadi RM241,997.04 selepas pengecualian cukai jualan. Harga ini akan sah sehingga 30 Jun 2021.
Dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, buat pertama kalinya Volvo XC40 Recharge T5 dilengkapi dengan enjin 1.5-liter turbo 3-silinder berkuasa 178hp dan 265Nm tork.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi DCT (dwi-klac) 7-kelajuan dan motor elektrik berkuasa 82hp dan 160Nm tork.
Secara keseluruhan, rangkaian Drive-E ini menjana 262hp dan 425Nm tork, membolehkan XC40 memecut dari pegun ke 100km/j dalam 7.3 saat sahaja. Kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j seperti yang diumum oleh Volvo tahun lepas.
Sebahagian teknologi dalam XC40 Recharge T5 termasuk ciri-ciri keselamatan dan bantuan kepada pemandu seperti sistem Pilot Assist, City Safety, Run-off Road Protection and Mitigation, dan Cross Traffic Alert dengan sokongan brek.
XC40 Recharge T5 menawarkan lima mod pemanduan berbeza untuk pengalaman pemanduan yang lebih dinamik; Hybrid, Pure, Off-Road, Power dan Individual.
Dari segi rupa, Volvo XC40 Recharge T5 hampir serupa dengan varian lain, menampilkan reka bentuk Scandinavian yang kemas, minimalis dan moden.
Di samping itu, tempat penyimpanan di kabin telah direka untuk menyediakan ruang penyimpanan yang lebih praktikal di bahagian pintu pemandu, termasuk cangkuk yang boleh ditarik untuk menggantung barang.
Pelanggan-pelanggan juga berpeluang untuk memilih lima warna yang berbeza: Blackstone, Crystal White Pearl, Bursting Blue Metallic, Glacier Silver Metallic dan Coral Red Metallic.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.volvocars.com/my atau ikuti Facebook Volvo Car Malaysia http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram http://bit.ly/VolvoMY-IG untuk maklumat terkini.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar