Selepas pengumuman pembukaan tempahan bulan lepas, BMW akhirnya melancarkan 4-Series serba baharu di Malaysia.
Ia hadir dalam satu varian iaitu 430i M Sport, CBU (diimport sepenuhnya) dan dijual pada harga RM441,680 selepas pengecualian cukai.
Harga ini turut mengakumi jaminan dua tahun tanpa had perbatuan, tetapi tanpa servis percuma. Jika anda mahu memilih jaminan lima tahun dengan pakej servis percuma, harganya menjadi RM454,800.
BMW 430i Coupe M Sport dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder. Unit B48 ini menjana 258hp dan 400Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic 8-kelajuan.
Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.8 saat sahaja, dan kelajuan maksimum ialah 250km/j.
Ciri standard pada 4-Series ini adalah lampu depan LED, lampu kabus LED, dan kemasan Shadow Line.
Disebabkan ia dilengkapi pakej M Sport, kereta ini juga mendapat bampar lebih agresif dengan ruang udara lebih besar, rim 19-inci M aloi ringan, suspensi M Sport, dan brek M Sport berwarna biru. Tayar adalah 225/40 di depan, dan 255/35 di belakang.
Kabin pula diberikan kemasan serba gelap, dengan lining Anthracite, trim Tetragon dan kulit Sensatec. Selain itu, ia diberikan roda stereng M, pedal M, tempat duduk sport dan tali pinggang keledar M.
Untuk teknologi, BMW 430i Coupe dilengkapi Comfort Access, paparan instrumen BMW Live Cockpit 12.3-inci, dan paparan BMW Navigation System dengan 10.25-inci. Terdapat juga BMW ConnectedDrive, Bluetooth, pengecasan tanpa wayar, dan pembesar suara BMW HiFi.
Ciri keselamatan pula merangkumi Driving Assistant dengan Lane Departure Warning, Lane Change Warning dan Front Collision Warning dengan Brake Intervention.
Anda juga akan mendapat Rear Cross Traffic Warning, Rear Collision Prevention, Cruise Control, kamera undur, dan Parking Assistant dengan Reversing Assist.
BMW 4-Series ini hadir dengan empat warna iaitu Arctic Race Blue Metallic, Portimao Blue, Alpine White, dan Black Sapphire. Warna-warna ini boleh digabungkan dengan kabin kulit Vernasca berwarna Black, Tacora Red atau Cognac.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar