Projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dengan kos RM440 juta akan bermula pada April.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, projek itu melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat, tambahan lima jambatan udara (aerobridge) selain penambahbaikan jalan keluar dan masuk lapangan terbang.
“Pada tahun 2019, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra catat 1.8 juta penumpang sedangkan kapasiti semasa cuma mampu tampung 1.5 juta,” kata Mustapa.
“Ini adalah lapangan terbang domestik paling sibuk di negara ini dan perlu dibesarkan serta dinaik taraf bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat,” tambahnya.
Beliau berkata, komponen utama projek melibatkan pembinaan bangunan terminal baharu yang berkonsepkan reka dan bina (design and build) dengan pengasingan balai ketibaan serta pelepasan.
“Apabila siap kelak bangunan terminal baharu ini mampu mengendalikan 4 juta penumpang setahun,” katanya.
Mustapa berkata, kerajaan bersetuju melantik WCT Bhd sebagai kontraktor dan dijangka masuk ke tapak pada April 2021.
“Mengikut perancangan projek ini akan siap pada pertengahan tahun 2024 dan akan meningkatkan lagi tahap keselesaan pengguna.
“Projek LTSIP adalah antara projek terbesar di Kelantan yang dapat meningkatkan perhubungan antara negeri ini dengan negeri-negeri lain di seluruh negara,” lanjutnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar