Osamu Suzuki, pengerusi Suzuki Motor Corp, telah mengumumkan bahawa dia akan melepaskan jawatannya pada Jun ini.
Tempatnya akan diserahkan kepada anaknya, Toshihiro Suzuki, yang sudah menjadi presiden dan CEO Suzuki Motor.
Menurt Osamu Suzuki, perletakan jawatannya tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada pemimpin baharu menyahut cabaran peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) serta cabaran daripada syarikat seperti Apple dan Tesla.
Namun, dia menyatakan akan terus bekerjasama dengan Suzuki Motor sebagai penasihat.
Osamu Suzuki telah bersama syarikat itu sejak 1958 dan menjadi presiden pada tahun 1978. Ketika menjawat jawatan presiden, dia membuat keputusan penting untuk memasuki pasaran India.
Keputusan tersebut membuahkan hasil, apabila Maruti Suzuki India Ltd berjaya dibangunkan dan kini menjadi antara salah satu pengeluar terbesar di negara tersebut.
Namun, Osamu Suzuki mengundurkan diri dari peranannya sebagai CEO pada tahun 2016 untuk bertanggungjawab atas skandal yang menimpa sayrikat tersebut. Namun, dia tetap menjadi ketua syarikat.
Suzuki Motor turut mengumumkan pelaburan bernilai 1 trillion yen (RM38 bilion) bagi memfokuskan kepada teknologi EV untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Neutral karbon merupakan keutamaan kami, dan Suzuki tidak seharusnya ketinggalan jauh di belakang trend global ini,” jelas Toshihiro Suzuki.
Pengumuman ini dilihat timbul tidak lama selepas Honda melantik ketua unit R&D Honda Jepun, Toshihiro Mibe sebagai CEO baharu bagi memberikan fokus kepada kenderaan elektrik dan mengejar pemain-pemain automotif yang lain yang sudah pun memiliki beberapa produk EV.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar