Tidak kurang dari 45 organisasi seluruh dunia menggesa juara dunia Formula 1 tujuh kali, Lewis Hamilton untuk bersuara berkenaan hak asasi manusia Arab Saudi, seterusnya memboikot Grand Prix yang bakal diadakan di Jeddah.
Sebelum ini, Lewis Hamilton pernah bercakap tentang kempen Black Lives Matter dan merupakan pendorong kempen End Racism Formula 1 sepanjang musim 2020.
Selain itu, beliau juga pernah meluahkan kebimbangannya terhadap mangsa penderaan Bahrain ketika Grand Prix negara itu tahun lepas.
Kini, organisasi seperti Codepink, Alliance For Global Justice, Americans For Democracy & Human Rights di Bahrain dan International Service For Human Right telah menghantar surat kepada Hamilton dan meminta beliau bercakap terhadap Saudi Arabia dan juga Grand Prix yang dijadualkan berlangsung pada 3-5 Disember nanti.
Menerusi surat tersebut, organisasi hak asasi manusia terbabit menyuarakan tentang penahanan dan layanan terhadap Loujain AlHathloul dan juga pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi pada Oktober 2019.
Mereka juga menggariskan bagaimana pemimpin Arab Saudi melancarkan perang ke atas Yaman dan kes tersebut dianggap sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Sementara itu, Formula 1 telah mengumumkan Saudi Arabia bakal menjadi tuan rumah untuk perlumbaan musim 2021 pada November tahun lalu.
Ketika itu, Hamilton hanya memberi komen tentang perlumbaan. Namun, beliau perlu mengetahui terlebih dahulu tentang pelanggaran hak asasi kemanusiaan Saudi Arabia sebelum memberikan apa-apa komen.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar