Hanya beberapa hari sahaja lagi menjelang pelancaran Perodua D55L atau nama rasminya Ativa. SUV baharu dari pengeluar nasional yang berpangkalan Rawang ini telahpun dibuka tempahannya, dengan tiga pilihan varian dan harga anggaran dari RM62,500 hingga RM73,400.
Dari segi mekanikal, ada beberapa perkara yang menjadikannya suatu model penting buat Perodua. Selain merupakan model sulung dengan enjin turbo, Perodua Ativa juga akan menjadi model pertama dengan transmisi D-CVT.
D-CVT di sini bermaksud Dual Mode CVT, kerana ia mempunyai dua cara menyampaikan kuasa.
Tidak seperti CVT konvensional dengan tali sawat (belt) atau rantai (chain), D-CVT pada Ativa menggunakan kombinasi rantai besi dan set planetary gear.
Dalam satu mod, ia akan menghantar kuasa menggunakan sistem CVT seperti biasa. Tetapi dalam satu mod lagi, ia membolehkan kuasa dihantar melalui gear fizikal. Set planetary gear ini digunakan untuk ‘membantu’ memberikan rasa lebih telus kepada CVT.
Ini juga secara teori pasti mengurangkan rasa ‘lemau’ CVT konvensional, terutamanya dalam halaju tinggi atau mula memecut. Kenapa?
Mulanya, D-CVT akan berfungsi seperti CVT biasa pada kelajuan rendah dan pemanduan stop and go.
Kemudian pada kelajuan sederhana dan lebih tinggi, klac akan disambungkan dan mod berubah menggunakan gear fizikal, memberikan rasa seperti transmisi torque converter biasa.
Harus diketahui, D-CVT ini bukanlah sama dengan transmisi Direct Shift CVT seperti terdapat pada Toyota Corolla dan RAV4. Walaupun masing-masing mempunyai planetary gear, operasinya adalah berlawanan.
Selain dari mengurangkan rasa elastik CVT biasa, sistem D-CVT membantu memberikan penggunaan bahan api yang baik. Kerana itulah Perodua Ativa dikatakan mampu memberikan sehingga 18.9km/L.
Dengan kecekapan yang lebih baik ini juga, berbanding CVT biasa yang mempunyai nisbah menyerupai transmisi automatik 6-kelajuan, D-CVT mampu memberikan nisbah menyerupai automatik 8-kelajuan.
Mantap, boleh tambah kuasa? Unit D-CVT pada Perodua Ativa (dan Toyotai Raize serta Daihatsu Rocky untuk pasaran lain) mempunyai had kuasa 150Nm. Enjin 1.0-liter turbo 3-silinder pada Ativa menghasilkan 140Nm.
Jadi jika ingin ubah suai atau tambah kuasa, harus diingat berkenaan perkara ini ya! Sifat CVT secara am juga memang tidak selasak transmisi torque converter biasa.
Jadi, nampak sangat menarik dan meyakinkan setakat ini. Bagaimana transmisi dan enjin ini dalam dunia sebenar, harus kita tunggu sehingga kami dapat unit pandu uji.
Apa pun, ini suatu model penting dan sangat signifikan untuk Perodua, dan pastinya menjadi fenomena untuk tahun 2021.
Sumber rujukan: Motor-fan.jp, Wapcar, Mekanika
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar