Seramai 11 pesalah jalan raya dipaksa menunaikan solat Maghrib berjemaah dan mengikuti tazkirah selepas ditahan pihak berkuasa pada Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf, tindakan itu dilakukan sebaik mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah selepas ditahan sempena Op Khas Kesalahan (Bunyi Bising).
“Semua mereka yang berusia 14 hingga 20 tahun ditahan di Jalan Kampung Liku ke Kampung Gobek dalam operasi yang bermula pada jam 5.30 petang hingga 8 malam,” kata Zainuddin.
“Mereka dibawa ke IPD Tanah Merah dan kebetulan ketika itu sudah masuk waktu Maghrib menyebabkan saya mengarahkan mereka solat berjemaah terlebih dahulu di surau IPD sebelum melakukan proses selanjutnya.
“Mereka diimamkan oleh seorang lelaki dalam kalangan mereka sendiri manakala tazkirah Maghrib disampaikan oleh anggota kami,” tambahnya.
Lanjut Zainuddin, operasi tersebut membabitkan dua pegawai serta enam anggota dan sebanyak sembilan motosikal disita.
Katanya, sebanyak 30 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan dan yang paling tinggi adalah kesalahan tidak memakai topi keledar.
“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar