Bertugas sebagai penghantar makanan mungkin dipandang rendah oleh sesetengah individu. Namun, mereka inilah yang sanggup meredah hujan dan panas demi memastikan pesanan pelanggan sampai di depan pintu.
Bagaimanapun, terdapat kes-kes di mana pelanggan mengambil kesempatan terhadap mereka yang mencari rezeki ini.
Terbaharu, seorang penghantar makanan dikenali sebagai Mohammad Muhaimee, menerusi Group FoodPanda Rider Malaysia di Facebook, menceritakan pengalamannya berdepan dengan pelanggan yang biadap. Siap guna bahasa kesat lagi!
Menerusi tangkap layar perbualan tersebut, seorang pelanggan bertindak mengugut untuk membunuh penghantar makanan ini, jika makanan yang dipesan olehnya tidak sampai pada waktu yang sepatutnya.
Mungkin tidak betul-betul bunuh, tetapi ia sangat kurang ajar.
Apa yang lebih menyakitkan hati, apabila pelanggan ini menggesa supaya dia menghantar makanan tersebut dengan lebih cepat.
“Ada Juga customer macam ni. Ingat kerja rider ni hina sangat ke? Kan dah mengigil, budak ohh budak. Salah oranglah kalau nak main. Harap tak dapat lagi pelanggan macam ini,” kata Mohammad Muhaimee menerusi laman Facebooknya.
Tidak berakhir di situ, perkataan kesat yang tidak bersesuaian turut dilemparkan kepada penghantar makanan ini. Namun, dia masih mampu mengawal dirinya daripada membalas perkataan yang sama.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menggesa supaya lelaki ini mengambil tindakan dan membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung isu yang terjadi.
Pada masa yang sama, warganet turut menyifatkan tindakan pelanggan itu adalah tidak beradab dan bertentangan dengan nilai-nilai murni yang dipraktikkan dalam masyarakat Malaysia.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar