Operasi Khas Bunyi Bising: Y-Suku ‘auto show’ RM15,000 disita

3352

Hasrat seorang lelaki menunjukkan kehebatan motosikal Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali ‘Y-Suku’ yang diubah suai untuk pertandingan pertunjukan motosikal tidak kesampaian apabila kenderaannya itu disita polis.

Y-Suku

Lelaki berusia 28 tahun terbabit ditahan dalam Operasi Khas Bunyi Bising oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di ibu kota, semalam.



Dia yang bekerja sebagai mekanik mendakwa membelanjakan lebih RM15,000 untuk mengubah suai motosikal berkenaan.

“Saya buat sendiri (ubah suai) sebab kalau hantar bengkel mungkin kosnya lebih tinggi. Lagipun saya sudah biasa buat ubah suai.

Y-Suku

“Sebelum ini saya simpan motosikal itu di rumah untuk pertandingan saja. Tapi saya terpaksa bawa yang ini kerana sebuah lagi motosikal digunakan bapa,” katanya.

Lelaki itu antara 79 penunggang motosikal yang disaman JSPT Kuala Lumpur atas kesalahan mengubah suai ekzos menerusi operasi yang dilakukan sejak 1 Mac sehingga semalam.

Sementara itu, menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, sepanjang operasi itu sebanyak 2,495 kenderaan diperiksa dan 1,400 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 79 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas kesalahan mengubahsuai ekzos, sementara 40 saman dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan 90 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas kesalahan sama.

“Sejumlah 84 kenderaan disita untuk pemeriksaan lanjut. Kenderaan akan diserah semula selepas tindakan menggantikan ekzos dilakukan,” kata Zulkefly.

“Semua penunggang yang ditahan dan disaman dalam operasi itu berusia antara 18 hingga 35 tahun. Mereka dikesan melakukan pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran dan ekzos bunyi bising melebihi paras bunyi ditetapkan,” tambahnya.

Beliau berkata, tindakan saman bagi ubahsuai ekzos dilakukan mengikut Kaedah 103 dan 109 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).

Katanya, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 60 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here