Kerajaan negeri akan menghentikan penggunaan kupon parkir atau pembayaran secara manual di semua tempat letak kenderaan yang diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mulai Januari 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, penggunaan kupon parkir akan ditamatkan pada 31 Disember tahun ini dan pembayaran secara digital sepenuhnya akan dilaksanakan bermula 1 Januari.
“Pembayaran parkir di semua kawasan PBT di negeri ini akan dilaksanakan secara digital sepenuhnya menerusi Smart Selangor Parking (SSP) yang dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Smart Selangor Delivery Unit (SSDU),” kata Ng.
“Kerajaan negeri juga akan mewujudkan kaedah petak parkir ‘hot zone’ di kawasan utama atau kawasan tumpuan awam dengan meletakkan had masa maksimum bagi setiap tempahan. Sebagai contoh, petak parkir ini tidak boleh digunakan melebihi tempoh dua jam (bagi setiap kenderaan).
“Kaedah ini adalah untuk memberi kemudahan kepada pengguna lain dalam mendapatkan petak parkir di kawasan yang sibuk dan padat,” tambahnya.
Beliau berkata, bagi petak parkir ‘hot zone’ ini kadar bayaran adalah sama dengan petak parkir biasa bagaimanapun akan ada perbezaan had masa yang ditetapkan.
“Sebagai contoh, petak parkir biasa dikenakan 50 sen untuk satu jam, namun petak parkir ‘hot zone’ dikenakan bayaran 50 sen setiap 30 minit.
“Petak parkir ini akan diberi nama yang lebih sesuai serta mesra pengguna dan akan mula dikuatkuasakan selepas pindaan ke atas Jadual di dalam Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) yang digunapakai oleh PBT Negeri Selangor diwartakan,” katanya.
Ng berkata, kawasan parkir ‘hot zone’ akan ditentukan oleh PBT mengikut kesesuaian lokasi dan sekiranya pengguna tidak mengalihkan kenderaan selepas tamat tempoh yang ditetapkan, penguatkuasa bertugas akan mengambil tindakan kompaun atau tunda kenderaan.
“Bagi memudahkan orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar atau bukan penduduk negeri ini, alternatif menerusi sistem ejen e-parkir akan dilaksanakan yang mana ejen boleh membuat pembayaran parkir bagi pihak pengguna.
“Sistem ejen ini masih dalam proses pelaksanaan dan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar