Boon Siew Honda kini memperkenalkan skuter Honda Forza 250cc baharu, yang akan menawarkan prestasi tunggangan yang selesa, dan penampilan yang penuh bergaya.
Honda Forza 2021 dilengkapi dengan lampu LED sepenuhnya, termasuk reka bentuk lampu isyarat baharu, reka bentuk badan dan ekzos lebih menarik, selain menawarkan kedudukan tunggangan selesa.
Skuter baharu ini dikuasakan oleh enjin 250cc sejukan cecair SOHC eSP+ yang dilengkapi dengan PGM-FI. Secara keseluruhan, Forza 2021 mampu menghasilkan sehingga 21hp pada 7,750rpm dan 22.6Nm tork pada 6,250rpm.
Apa yang menarik ialah skuter ini disediakan dengan tangki bahan bakar dengan kapasiti 11.7 liter untuk jarak tunggangan lebih jauh.
Selain cermin sisi elektrik boleh dilaras, motosikal ini menawarkan skrin penghadang angin 180mm untuk memberikan perlindungan (aliran udara sekitar kepala penunggang) dan mengurangkan bunyi.
Penghadang angin ini juga boleh dilaras dengan satu suis pada hendal kiri.
Forza 250 juga dilengkapi dengan Emergency Stop Signal (ESS), yang secara automatik akan mengaktifkan lampu amaran jika membrek secara tiba-tiba untuk memberi amaran kepada kenderaan di belakang.
Di samping itu, model ini dilengkapi dengan pengecas USB pada bahagian hadapan, menjadikannya sesuai untuk tunggangan jarak jauh.
Skuter ini juga dilengkapi dengan pelbagai ciri canggih lain, termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC) boleh laras, sistem brek ABS pada bahagian hadapan dan belakang, sistem Honda Smart Key, dan kotak utiliti besar yang mampu menyimpan dua topi keledar.
Honda Forza 250 2021 ditawarkan pada harga RM25,388 dan hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Matte Gunpowder Black Metallic, Pearl Horizon White dan Candy Rosy Red.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar