Porsche Asia Pacific (PAP) dan Shell telah bekerjasama membangunkan jaringan pengecasan berprestasi tinggi (High Performance Charging atau HPC) pertama di Asia Tenggara.
Jaringan ini merangkumi 12 stesen pengecasan di enam stesen-stesen Shell strategik sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan di Malaysia. Ya, ini akan membolehkan pemilik-pemilik EV Porsche untuk memandu dengan mudah dari Singapura, melalui Kuala Lumpur dan terus ke Pulau Pinang.
Kerjasama ini adalah sebahagian dari komitmen Porsche dan pengeluar petroleum itu untuk memacu mobiliti elektrik masa depan di rantau ini. Ia juga mengukuhkan ikatan kedua-dua negara (Malaysia dan Singapura) dimana lintasan sempadan di Sultan Iskandar Building dan Woodlands Checkpoint merupakan antara paling sibuk di dunia.
Matthias Becker, Naib Presiden Region Overseas and Emerging Markets of Porsche AG berkata, “Jaringan pengecasan berprestasi tinggi kami yang melalui Singapura dan Malaysia akan menjadi perintis kepada projek untuk negara-negara lain di rantau ini kemudian.”
Kesemua enam stesen Shell terbabit akan dilengkapi dengan pengecas DC (direct current) berkapasiti 180kW, iaitu kapasiti tertinggi di Singapura dan Malaysia.
Pengecas-pengecas ini akan hadir dengan dua penghubung CCS Type 2, membolehkan sebuah kenderaan dicaj dengan 180kW atau dua buah sekali dengan 90kW setiap satu.
Kesemua HPC ini juga akan diintegrasikan dengan jaringan sedia ada Shell iaitu 18 pengecas Shell Recharge 50kW di Malaysia dan 87 pengecas awam Greenlots di Singapura.
Jaringan ini juga akan melengkapkan rangkaian pengecas 175kW di semua cawangan Porsche Centre di Malaysia, serta jaringan di hotel, lapangan terbang, kelab sukan dan lokasi-lokasi terpilih lain.
Pemilik Porsche Taycan lepas ni boleh pandu jarak jauh dengan mudah!
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar