Tarantula secara rasmi dipilih sebagai nama kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) nasional, buatan tempatan yang pertama, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pemilihan nama kenderaan itu berdasarkan spesis labah-labah daripada keluarga Theraphosidae atau di Asia digelar ‘Earth Tiger’.
Katanya, karakter dan keupayaan yang ada pada labah-labah Tarantula menggambarkan ‘kekuatan’ kenderaan perisai yang dibangunkan bakat tempatan.
“Kereta perisai ini melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Kementerian Pertahanan.
“Dari segi ujian atas jalan raya selama sembilan hari, ia merangkumi perjalanan 700km dan 300km lagi ujian panduan offroad.
“Ia dinamakan Tarantula HMAV4x4 kerana Tarantula adalah kumpulan labah-labah bertaring besar dan berbulu, mempunyai keupayaan mengubah warna serta tingkah laku mengikut persekitaran. Sebab itu kekuatan kereta perisai ini sama dengan Tarantula,” katanya.
Lanjut Ismail Sabri, Kementerian Pertahanan komited untuk terus menumpukan industri pertahanan dalam usaha memastikan Malaysia tidak lagi bergantung terhadap ‘produk’ negara luar.
Tarantula HMAV4x4 adalah kenderaan berperisai dengan keupayaan lasak untuk bergerak pantas di atas pelbagai bentuk muka bumi dengan mampu mencapai kelajuan sehingga 110km/j.
Dengan keupayaan dimiliki kenderaan itu, ia terbukti mampu melaksanakan pelbagai misi penting ketenteraan dan memberi perlindungan kepada pengendali serta kru kenderaan itu.
Ia dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada yang asas sehingga paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi mana-mana spesifikasi diinginkan negara tertentu.
Dilengkapi sistem persenjataan moden bersama pelancar grenet, kenderaan berperisai ini direka menggunakan sistem Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) yang membolehkannya menembak secara 360 darjah ketika bertempur, memberikan keupayaan untuk menembak sasaran menggunakan sistem kawalan jauh dengan bantuan skrin paparan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar