Kami baru mendapat dua imej depan dan belakang Proton Iriz 2019 tanpa sebarang camouflage. Iriz dengan kod nama MC2 atau Minor Change 2 itu tampak lebih kemas dan sporti.
Bahagian depan
Dari bahagian depan, lampu hadapan kini menggunakan unit halogen seperti Persona. Iriz refinement atau MC1 sebelum ini mendapat unit projektor. Gril antara kedua lampu depannya memakai rekaan seperti Proton Wing dengan krom nipis.
Di bamparnya, kemasukan udara tengah masih berbentuk A, tetapi lebih rendah sedikit. Kemasukan udara di bahagian luar (kiri dan kanan) pula kini lebih bersegi dan besar. Tiada unit lampu kabus atau DRL (daytime running lights) di sini. Boleh jadi ini varian asas atau kesemua varian tiada lampu kabus dan DRL.
Bahagian belakang
Kami agak tertarik dengan bahagian belakang kerana terdapat bar hitam melintang di antara kedua-dua lampu belakang. Terdapat tulisan ‘PROTON’ di bar ini yang menggantikan lencana Proton pada Iriz sebelum ini. Nampak seperti Volvo? Ehem. Nampak juga kesinambungan selepas model Suprima S dan X70.
Bampar belakang Iriz MC2 juga menerima sedikit perubahan. Ia kini diperhalusi dengan garisan timbul yang lebih menyerlah. Di garisan ini juga terdapatnya pemantul cahaya yang dialih lebih tinggi dan lubang seperti untuk aliran udara menegak di kiri dan kanan. Tak pasti sama ada ia hanya kosmetik atau benar-benar mempunyai fungsi aerodinamik.
Di sekeliling ruang nombr plat pendaftaran juga kini terdapat satu panel hitam besar yang mendominasi bampar belakang ini. Cuma kurang jelas di sini bagaimana rupa rekaan ekzosnya.
Dari segi mekanikal, Iriz MC2 dijangka masih menggunakan padanan sama seperti model sekarang. Ini bermakna enjin 1.3-liter VVT berserta transmisi CVT dari Punch akan ditawarkan. Adakah unit CVT itu mengalami perubahan kalibrasi lagi, juga kami belum pasti.
Apa pendapat anda mengenai imej Proton Iriz MC2 setakat ini? Rasanya adakah semua varian dengan CVT atau varian manual akan ditawarkan?
Nantikan laporan kami bila kami mendapat lebih maklumat di masa akan datang.