BMW Malaysia kini memperkenalkan ‘ahli baharu’ dalam BMW 3 Series, iaitu BMW 330Li M Sport yang akan menawarkan sebuah dimensi ketangkasan baharu menerusi varian dengan jarak roda (wheelbase) lebih panjang.
330Li M Sport hadir dengan aplikasi My BMW App yang baharu untuk membekalkan interaksi digital yang lebih diperkayakan antara pemandu dan kenderaan.
Dari segi reka bentuk, jentera ini disediakan dengan gril ‘kidney’ yang digabungkan dengan topang berwarna hitam, serta dibingkaikan dengan krom. Gril ini juga dihiasi oleh Lampu Hadapan LED Adaptif serba canggih yang boleh dilaras secara automatik mengikut pelbagai keadaan jalan.
Penamilan luaran jentera ini dilengkapkan lagi dengan M Aerodynamics dan M Sport Packages, termasuk set roda aloi ringan 18-inci.
Selain itu terdapat juga kemasan paip ekzos dwisisi dengan gubahan berbentuk trapezium di belakang, serta bumbung kaca panorama dan karpet aluan bercahaya di kedua-dua sisi.
BMW 330Li M Sport dikuasakan oleh enjin petrol 4-silinder yang mampu menghasilkan sehingga 258hp pada 5,000-6,500rpm dan 400Nm tork pada 1,550–4,400rpm.
Dengan kuasa disalurkan melalui transmisi Steptronic Sport, jentera ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.2 saat.
Untuk ruangan dalam, kabin jentera ini disertakan dengan kemasan trim dalam Aluminium Tetragon berserta dengan kemasan trim bersorotan dalam Pearl Chrome.
Selain itu, ruangan kepala juga kini lebih tinggi sebanyak 4mm dan tambahan sebanyak 42mm bagi ruangan kaki penumpang di bahagian belakang. Ruang but jentera ini berkapasiti 480 liter dan dinaik taraf dengan pakej kompartmen muatan.
Pada ruangan kokpit, pemandu disediakan dengan stereng kulit M serta pedal M-specific. Fungsi anti silau automatik turut disediakan pada cermin luaran dan dalaman, serta pelarasan kerusi elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu.
Untuk teknologi, BMW 330Li M Sport dilengkapi sistem Comfort Access sebagai standard, paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci, dan sisten navigasi dengan paparan sentuh 10.25”.
Sistem Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan, Bantuan Parkir dengan cermin pandang belakang, serta sistem Keselamatan Pejalan Kaki Aktif BMW (BMW Active Pedestrian Safety) turut disertakan.
BMW 330Li M Sport ditawarkan dalam dua warna iaitu Mineral White dan Carbon Black.
Anggaran harga jualan bagi 330Li M Sport berserta dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah pada RM300,800.00.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar