Gara-gara penghuni lama berhutang, sebuah keluarga di Jalan Indah 22/5, Taman Bukit Indah, Johor Bahru berdepan dengan detik cemas apabila Toyota Vios diletakkan di garaj terbakar dipercayai angkara konco along awal pagi ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, keluarga berkenaan turut menemukan nota berunsur ugutan diletakkan di kawasan rumah berkenaan.
Beliau berkata, penghuni yang tinggal di rumah berkenaan sejak setahun lalu mendakwa bebas daripada hutang ceti haram.
“Dipercayai penghuni lama pernah berhutang dengan along tetapi penghuni baru menjadi sasaran. Satu nota ditemukan di tempat kejadian yang berbau ugutan,” katanya.
Lanjut Dzulkhairi, kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor berkata, kejadian membabitkan sebuah kereta Toyota Vios yang musnah 50 peratus.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 5.04 pagi. Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian.
“Operasi memadam kebakaran yang dijalankan tamat pada jam 5.41 awal pagi dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar