Honda HR-V generasi ketiga telah dilancar secara rasmi di Jepun (menggunakan nama Vezel di sana). Anda mungkin sudah melihat rupanya yang terdedah sebelum ini, namun perkara yang menjadi tanda tanya adalah di bawah bonetnya.
Pilihan enjin untuk HR-V adalah unit 1.5-liter i-VTEC naturally-aspirated dan hibrid e:HEV dual-motor. Perincian seperti berikut:
1.5-liter i-VTEC
L15Z DOHC
Kuasa: 118hp @ 6,000rpm
Tork: 142Nm @ 4,300rpm
Transmisi: CVT
Penggunaan bahan api: 17km/liter
e:HEV
1.5-liter Atkinson-cycle
Kuasa: 106hp
Tork: 127Nm
Motor elektrik: 131hp
Bateri: Intelligent Power Unit (IPU) 60 sel
Penggunaan bahan api: 25km/liter
Honda HR-V serba baharu ini menampilkan rekaan lebih kemas dengan cermin belakang condong, memberikannya rupa ala coupe.
Ia juga dibina di atas platform yang sama dengan Jazz dan City. HR-V baharu ini lebih pendek, lebih lebar dan lebih rendah dari model sebelumnya.
Satu perkara menarik ialah Honda telah bekerja sama dengan pusat R&D di Sakura iaitu tempat sama yang membangunkan enjin F1 untuk Red Bull Racing dan Scuderia Alpha Tauri.
Kerjasama ini adalah untuk menambahbaik aerodinamik HR-V dengan memberikannya air curtain di bampar depan, rekaan khas skirt tepi, rekaan spoiler baharu dan lampu belakang yang direka semula.
Di bahagian dalam, HR-V mendapat rekaan papan pemuka minimalis yang menempatkan skrin sesentuh infotainmen dan corong udara lebar.
Tempat duduk belakang disandarkan lagi sebanyak 2-darjah untuk menambah keselesaan. Ciri lain yang menarik adalah pelindung matahari depan jenis gelongsor, lampu peta jenis sentuh, dan pintu but belakang berkuasa dengan kawalan hands-free.
Untuk teknologi, HR-V di Jepun dilengkapi Honda Connect, WiFi, kemaskini peta automatik, kunci digital telefon pintar, dan vehicle-to-infrastructure (V2I) yang membolehkan anda tahu sekiranya lampu di depan hijau.
Ciri keselamatan adalah Honda Sensing yang terdiri dari sistem terkini seperti Autonomous Emergency Braking dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggan basikal, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Pedal Misapplication Control dan banyak lagi.
Honda HR-V juga diberikan beberapa penambahbaikan dari segi pengendalian. Ini terdiri dari badan yang tegar dan ringan, suspensi yang ditala semula, bushing baharu, komponen suspensi kurang geseran, dan kolumn stereng lebih keras.
Dengan empat varian semuanya, harga HR-V bermula pada 2,279,200 Yen (RM86,600) untuk varian G petrol sehingga 3,298,900 Yen (RM125,300) untuk e:HEV PLaY.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar