Ingin bantu pesakit Covid-19, lelaki di India ini ubah beca miliknya jadi ambulans

1707

Tersentuh hati dengan penderitaan dialami pesakit Covid-19, pemandu beca bermotor di India ini sanggup menukar kenderaannya menjadi ambulans.

beca ambulans

Mohammad Javed Khan dari Bhopal, India tengah menawarkan khidmatnya itu tanpa sebarang bayaran.



Malah, dia juga turut menggadai barangan kemas isterinya untuk membiayai kos mengubah motosikal roda tiga itu untuk dijadikan ambulans kecil.

Menariknya, ambulans itu dilengkapi dengan tabung oksigen, oksimeter untuk mengukur tahap oksigen dalam darah dan peralatan perubatan asas lain.

Menurut Javed, dia berasa hiba setiap kali melihat ramai orang terpaksa bersusah payah membawa keluarga mereka yang dijangkiti Covid-19 kerana tidak mampu menggunakan perkhidmatan ambulans.

“Seorang pesakit kritikal tidak boleh dibawa ke hospital tanpa bantuan oksigen. Jadi, saya tidak kisah mengubah beca saya menjadi ambulans.

“Mungkin ia tidaklah sebesar ambulans sebenar, tetapi sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan nyawa orang,” katanya.

Lanjut Javed, ramai orang miskin tidak mampu membayar kos ambulans antara 5,000 (RM279)-10,000 rupee (RM558).

“Macam mana orang miskin mampu membayar kos itu apatah lagi ketika pandemik ini ramai orang terkesan kerana tiada pendapatan,” katanya.

Menurutnya, niat murninya itu turut dibantu seorang individu yang menyumbang tabung oksigen dan oksimeter. Selain itu, dia mendapat tunjuk ajar dari seorang doktor mengenai rawatan asas kecemasan.

“Ramai orang datang membantu dan meminta saya meneruskan misi ini sampai pandemik berakhir. Berkat bantuan ramai, saya dapat melakukan usaha ini,” katanya.

Sementara itu, Javed pernah dituduh polis menjalankan operasi beca tanpa kebenaran ketika sekatan pergerakan di Madhya Pradesh.

Namun, selepas beberapa bantahan di media sosial, polis menarik dakwaan dan memberikan kebenaran khusus kepada Javed.

Krisis kesihatan melanda India semakin meruncing apabila kini merekodkan 20.6 juta kes jangkitan Covid-19 dengan 226,188 kematian.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here