Semua pemilik Ford Mustang Mach 1 2021 di Australia akan menerima ganti rugi berupa servis percuma tiga tahun dan pengalaman memandu eksklusif di litar.
Ini kerana ciri yang sepatutnya diberikan pada Mustang tersebut, seperti yang diiklankan, tiada ketika pemilik menerimanya. Kos keseluruhan yang terpaksa ditanggung oleh Ford Australia untuk ganti rugi itu difahamkan melebihi USD1 juta (RM4.1 juta).
Model ini hanya dihasilkan sebanyak 700 unit untuk Australia, tetapi bahan promosi awal secara tidak sengaja menyenaraikan beberapa ciri yang tidak dipasang pada kenderaan itu.
Antara ciri-ciri itu adalah Radar Cruise Control, pengesan parkir belakang, dan lampu kabus.
Model di Amerika Syarikat (AS) juga tidak didatangkan dengan ciri tersebut berikutan beberapa modifikasi telah dilakukan untuk menambah prestasi kereta di litar.
“Kami baru-baru ini menemui beberapa pembetulan kandungan dan ciri pada Mustang Mach 1 untuk pasaran Australia, dan kecewa kerana masalah ini tidak dapat diselesaikan sebelum info tentang kereta ini diterbitkan pada risalah dan laman web,” kata kenyataan dari Ford Australia.
Tambah Ford Australia, mereka akan membuat perubahan pada kandungan risalah dan bahan promosi lain, yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Sebagai ganti, Ford Australia menyatakan mereka akan menawarkan peluang kepada pelanggan Mustang Mach 1 untuk menghadiri track day di litar yang paling sesuai dengan lokasi mereka.
Selain itu, Ford Australia juga akan memberikan tiga kali servis percuma yang bernilai USD1,380 (RM5,702).
“Selain Ford Performance Experience, pelanggan Mustang Mach 1 juga akan menerima servis berjadual percuma tiga tahun (pada 15,000km/12 bulan, 30,000km/24 bulan, dan 45,000/36 bulan).
“Kami akan menghubungi pelanggan secara terus dalam beberapa hari lagi,” lanjut Ford Australia.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar