Seorang wanita berdepan detik cemas hampir dua jam apabila Honda CR-V milik bapanya dicuri selepas terlibat dalam kemalangan di Jambatan Kuala Selangor, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2:58 petang selepas SUV mereka dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Mitsubishi Pajero.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, mangsa berusia 21 tahun yang memandu Honda CRV itu bersama ibu telah mengalihkan kenderaan tersebut di tepi jalan tanpa mematikan enjin sebelum keluar berbincang dengan individu yang melanggar itu.
“Seorang lelaki yang tidak dikenali dengan memakai pelitup muka telah datang seolah ingin membantu mangsa.
“Bagaimanapun, lelaki itu secara tiba-tiba telah memasuki kenderaan mangsa sebelum melarikannya dengan menghala ke Pekan Bestari Jaya,” katanya.
Ramli memberitahu, mangsa kemudiannya dimaklumkan penemuan semula kenderaannya di tepi jalan Taman Seramai menerusi panggilan orang awam ketika sedang memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat kes.
Ujarnya, Honda CR-V itu ditemui semula kira-kira pukul 4:45 petang oleh pihak polis. Lokasi penemuan tersebut dengan tempat kenderaan itu dilarikan suspek adalah kira-kira tiga kilometer.
“Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Selangor telah membuat siasatan terhadap kenderaan milik mangsa termasuk mengesan mencari cap jari suspek.
“Semakan mendapati dokumen seperti kad pengenalan dan wang tunai dianggarkan RM800 hilang dipercayai dilarikan suspek dan kenderaan tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah ini untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar