Pemandu Perodua Axia yang terbabit dalam kejadian langgar lari sebuah motosikal di Jalan Rambai, Taman Kota Masai, Pasir Gudang semalam, sudah ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan jam 5:30 petang di kediamannya di Taman Kota Masai.
Katanya, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya mengesan dan menahan pemandu itu.
“Siasatan awal pemandu itu mendakwa mengantuk menyebabkan dia terbabas dan melanggar penunggang motosikal. Pemandu Axia itu juga turut didapati tiada lesen memandu,” kata Mohd Sohaimi.
“Dalam kemalangan jam 1:24 tengah hari itu, penunggang motosikal berusia 34 tahun dari arah Kota Masai 2 menghala ke Jalan Jambu cedera parah dilanggar dirempuh sebuah Perodua Axia dari arah bertentangan,” tambahnya.
Mohd Sohaimi berkata, penunggang motosikal itu patah kaki kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar