Pada November 2014, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) ada melancarkan sebuah edisi terhad untuk ASX. Diberi nama Mitsubishi ASX Designer Edition, crossover itu diberikan sentuhan istimewa oleh pereka fesyen popular tanah air, Rizalman Ibrahim.
Ia dijual pada harga RM131,801.50 (atas jalan tanpa insurans), ASX Designer Edition ini cuma RM3,000 lebih mahal dari versi biasa. Walaupun perubahan hanya pada bahagian kosmetik, bagi kami ia tetap agak berbaloi kerana 180 unit pernah dihasilkan.
Tiada perubahan di bawah hudnya, ASX Designer Edition dikuasakan enjin 2.0-liter naturally-aspirated 4-silinder DOHC, dengan 150hp dan 197Nm tork.
Baik, untuk perbezaan dibahagian luaran, Designer Edition ini hadir dengan satu warna khas iaitu Titanium Grey, dan hanya pada varian 4WD. Badannya dihiasai dengan stripe kelabu dari depan hingga belakang, dan dilengkapi dengan spoiler lebih besar dan antena shark fin.
Kemudian rim aloi 17-inci diberikan warna hitam legap, dan tema ini diteruskan pada ekzosnya yang berwarna krom gelap berbanding krom berkilat pada versi biasa.
Bukan itu sahaja, bahagian kabin turut mendapat sentuhan Rizalman. Ini dapat dilihat pada tempat duduk kulit berwarna kelabu gelap disulami dengan benang kuning, serta panel pintu dan tombol gear dengan kemasan sama. Karpet pula dilengkapi lencana Designer Edition.
Akhir sekali, unit infotainmen juga dikustom dengan paparan nama pereka fesyen itu semasa ia mula dihidupkan.
Perkara lain dikekalkan seperti enjin MIVEC, pacuan semua roda, transmisi CVT INVECS-III dengan mod enam kelajuan, dan paddleshifters magnesium pada stereng.
Ia merupakan satu edisi terhad yang agak menarik dengan penambahan harga yang boleh dikatakan berbaloi untuk crossover yang sudah agak berumur pada ketika itu. Mitsubishi ASX Designer Edition didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.
Apa pendapat anda mengenai edisi ini? Jika ada lagi edisi sebegini pada hari ini, adakah anda akan membelinya?
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar