Lunaz, sebuah syarikat yang popular dengan projek ubah suai kereta klasik menjadi kenderaan elektrik, mengumumkan mereka menerima pelaburan dari David Beckham.
Beckham telah membeli 10 peratus saham syarikat yang berpusat di Silverstone itu, dan dia kini memiliki gabungan saham bersama Rueben dan Barclay.
Dalam masa yang sama, Lunaz mengumumkan rancangan pembangunan baharu yang akan merangkumi penghasilan semula, dan mengubah kenderaan industri serta komersial menjadi sebuah powetrain yang menghasilkan udara bersih.
Lunaz Group terbahagi kepada tiga anak syarikat iaitu Lunaz Design yang akan mengubah suai kereta klasik, Lunaz Applied Technologies yang akan membangunkan dan menaikkan semula industri kenderaan tersebut, dan Lunaz Powertrain, yang akan menyediakan powertrain elektrik modular milik syarikat sebagai produk giliran untuk OEM, pembekal tahap 1 dan banyak lagi.
Tahap pertama strategi baru Lunaz adalah memulakan penukaran dan pembuatan semula trak sampah dan kenderaan berat yang lain.
“Menjelang 2030 ketika larangan penggunaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dikuatkuasakan, lebih daripada dua bilion kenderaan berkuasa konvensional akan ada di planet ini,” kata Lunaz.
“Penghasilan semula dan penggunaan sistem elektrik dapat mengelakkan sebilangan besar kenderaan ini dihancurkan,” tambahnya.