Gara-gara tidak sempat sampai ke hospital, seorang wanita selamat bersalin di dalam kereta dengan bantuan dua polis wanita Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan yang sedang bertugas menjaga sekatan jalan raya (SJR) di Expressway Kuching-Samarahan, pada Khamis lalu.
Kejadian itu berlaku ketika sepasang suami isteri melalui satu sekatan jalan raya dalam perjalanan hendak ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
Menurut Lans Koperal Noor Fatihah Azelam, semasa dia sedang bertugas menjaga SJR, suami kepada wanita berkenaan telah memberitahu bahawa isterinya hendak bersalin lalu pihak berkuasa berkenaan terus bergegas bagi membantu wanita tersebut.
Jelasnya lagi, dia telah membantu untuk merungkaikan tali pusat wanita berkenaan yang sudah terbelit pada leher bayi berkenaan dan kemudian dia telah dibantu oleh rakannya, Koperal Perakson Jennie untuk menyelimutkan bayi perempuan tersebut yang kesejukan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram memberitahu bahawa pasangan terbabit dikatakan sedang panik ketika memandu ke arah sekatan jalan raya berkenaan bagi mendapatkan bantuan.
Walau bagaimanapun, bayi perempuan bersama ibunya berada dalam keadaan selamat dan telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar