7 kereta padu bawah RM50,000 untuk pembeli muda

13837

Anda baru habis belajar, dan memasuki alam pekerjaan. Kemudian anda perlukan sebuah kereta untuk pergi dan balik kerja.

Maka anda pun berkira-kira untuk ambil sebuah Perodua Myvi 1.5 AV baharu dengan harga sekitar RM53,000. Ibu bapa anda juga menyokong keputusan ini kerana jiran-jiran anda juga memandu kereta sama dan jarang kedengaran masalah mengenai Myvi.



Tetapi dalam hati, anda tahu anda sangat meminati kereta, minat memandu, dan inginkan sesuatu yang sedikit mengujakan. Perodua Myvi memang ok, tetapi apa kata kalau pandu kereta yang sedikit berbeza dan lebih memberi kepuasan, pada harga sama atau lebih murah dari Myvi.

Ada ke?

Haa jangan ingat tak ada. Mari kita lihatkan senarai tujuh buah kereta bawah RM50,000 yang boleh anda lihat dengan lebih dekat.

1. Suzuki Swift Sport (2007-2013)

Harga: RM39k hingga RM49k

Suzuki Swift sering menjadi kereta pertama yang popular untuk pasaran terpakai (second hand). Untuk lebih ummph, apa kata ambil Suzuki Swift Sport terus.

Varian ZC31S lengkap dengan jajan berharga sekitar RM39,000, tetapi generasi ZC32S yang lebih baharu pun boleh dapat sekitar RM49,000. Harga baharu dulu sekitar RM100k.

Swift Sport ZC32S hadir dengan enjin M16A 1.6-liter naturally-aspirated yang menghasilkan 134hp dan 160Nm tork. Pilihan transmisi adalah manual 6-kelajuan dan CVT, tapi anda tahu transmisi mana yang patut diambil, kan?

Ia sporti, seronok dipandu dalam keadaan standard dan juga sedap untuk dimodifikasi. Swift Sport ini juga praktikal, agak luas, senyap, dan mudah diselenggara. Satu kelemahan ialah enjin disarankan untuk diisi dengan RON97 sahaja.

2. Toyota Vios XP90 (2008-2013)

Harga: Sekitar RM30k

Apalah senarai kereta terpakai tanpa sebuah Toyota, bukan? Baik, Toyota pilihan kami ialah Vios XP90 tahun 2008 hingga 2013.

Admin baru-baru ini memandu model tahun 2011 dan apa yang boleh dikatakan, ia langsung tidak terasa seperti kereta berusia 10 tahun.

Tidak kiralah sama ada anda mahu biarkan ia dalam keadaan standard nampak baik, atau ubahsuai sedikit supaya jadi lebih rendah dan garang, Vios dugong ini sesuai untuk apa sahaja. Jangan buat stance sudah!

Terdapat pilihan transmisi manual 5-kelajuan dan automatik 4-kelajuan, mana-mana jenis transmisi pun okay dan tahan lasak. Ia dibekalkan enjin 1.5-liter 1NZ-FE yang menghasilkan 109PS dan 141Nm, kuasa cukup-cukup sahaja dan tetap jimat minyak.

3. Mazda 3 generasi kedua BL (2008-2013)

Harga: RM25k hingga RM40k

Mazda 3 BL hatchback

Ini antara kereta dalam senarai ini yang nampak mahal tapi sebenarnya sudah dikira mampu milik sebenarnya.

Mazda 3 menawarkan rupa yang premium dan bergaya, pengendalian mantap, dan enjin lancar serta senyap.

Generasi kedua BL ini hadir dengan pilihan badan hatchback dan sedan. Semasa ia dilancarkan, Mazda 3 ini boleh dikatakan model paling sporti dalam segmennya.

Ia dikuasakan enjin 2.0-liter yang menjana 145hp dan 182Nm tork, digandingkan dengan transmisi automatik 5-kelajuan.

4. Proton Satria Neo (2006-2015)

Harga: RM30k hingga RM45k

Baik, jika anda mahu kereta lebih sporti, ini kami cadangkan sebuah model Proton dua-pintu. Jangan ingat tiada kereta Malaysia dalam ni!

Pelbagai versi pernah dihasilkan untuk Satria Neo, dan ia ditawarkan dengan pilihan enjin CamPro 1.3 dan 1.6, serta CamPro CPS.

Kami cadangkan ambil model CPS kerana ia memberikan respon kuasa lebih baik dalam kebanyakan situasi pemanduan. Malah, cara CPS itu ‘masuk’ juga ada feel ala VTEC. Cewah.

Model CPS 1.6-liter ini menghasilkan kira-kira 125hp dan 150Nm dan wajib ambil transmisi manual! Sama seperti Swift Sport, Satria Neo ini juga memberikan anda pakej pengendalian mantap untuk anda asah kemahiran memandu anda tanpa kuasa melampau yang boleh menyebabkan anda masuk longkang.

Platformnya cukup tegar dan sesuai untuk anda naik-taraf sedikit demi sedikit sama ada dari segi kuasa enjin, kekerasan casis, atau suspensi.

Antara kelemahan Satria Neo ialah kabin yang tidak begitu senyap dan ruang kepala yang agak sempit.

5. Suzuki Kizashi (2009-2016)

Harga: Sekitar RM35k

Imej: Autoworld.com.my

Dalam senarai ini, kami rasa Suzuki Kizashi paling rare. Mesti ramai golongan muda tak pernah tahu akan model eksekutif hensem ini.

Ia bukanlah paling sporti, tapi sedan segmen-D ini nampak premium, unik, dan sesuai untuk anda yang mahukan kereta sedikit santai, namun tetap lain dari yang lain.

Semasa dilancarka di Malaysia pada 2012, Suzuki Kizashi ditawarkan dengan enjin 2.4-liter berkuasa 176hp dan 230Nm tork. Mantap juga, ya. Harganya pada masa itu ialah RM147,888, dan sekarang anda boleh dapat kurang dari satu per tiga dari harga asalnya.

Amacam, hensem?

6. Proton Inspira (2010-2014)

Harga: RM28k hingga RM36k

Satu lagi sedan segmen-D yang kami ingin cadangkan ialah dari Proton, iaitu Inspira. Ia bukanlah segmen-D sepenuhnya, lebih kepada segmen-C atau D low.

Inspira dibekalkan dengan enjin 2.0-liter dan 1.8-liter serta transmisi manual dan automatik CVT. Apa pun, model berasaskan Mitsubishi Lancer ini menawarkan nilai untuk wang, dan pengendalian sporti hasil sentuhan Proton R3.

Bercakap mengenai R3, jika anda jumpa model rare Inspira R3 dalam kondisi cantik, sambar sahaja! Ia hanya hadir dengan enjin 1.8-liter, transmisi manual, dan aksesori R3 seperti kit badan, rim aloi 18-inci dan tayar sport Yokohama.

7. Honda Civic (EK, EG, FD, FB)

Baiklah, anda tetap nak Honda? Ada lambang H barulah jadi, kan? Okay, ada beberapa generasi Honda Civic yang boleh dicadangkan.

Jika anda lebih kepada kaki modifikasi, seperti biasa, boleh pilih Civic EK atau EG. Dengan harga bawah RM25k, anda boleh dapat kondisi yang cukup baik. Selebihnya, boleh gunakan bajet itu untuk tukar apa yang patut sebagai preventive maintenance, kemudian barulah modify.

Honda Civic Fb. Imej: Autoworld.com.my

Tapi jika anda mahu beli dan kira terus ‘cuci tangan’, bolehlah ambil Civic FD atau FB, bergantung kepada citarasa masing-masing sama ada mahu gaya lebih sporti (FD) atau lebih abah-abah (FB).

Honda Civic FD boleh didapati sekitar RM45k, tetapi untuk FB dengan kondisi puas hati, mungkin perlu tambah sedikit lagi bajet anda sehingga RM60k.

Amacam dengan senara 7 kereta padu di atas? Ada yang tertinggal atau yang anda rasa patut masuk dalam senarai?

Jika anda rasa mahu lebih kepuasan memandu dan tak mahu sama dengan orang lain, bolehlah tengok kereta-kereta ini sekarang. Ada model-model seperti Swift Sport, Satria Neo dan Civic EK juga sedap Ulu Yam dan track day hujung minggu.

Tapi jika anda tak mahu pening dan pandu isi minyak sahaja, maka boleh terus submit dokumen loan untuk Perodua Myvi baharu atau kenderaan-kenderaan seangkatan dengannya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

1 KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here