Berapa anda sanggup bayar untuk sebuah Honda Civic Type-R EK9 original dalam keadaan stock kilang? RM70,000? RM100k? RM150k?
Percayakah anda jika kami beritahu sebuah EK9 Type-R original baru sahaja terjual pada harga lebih RM400k? Ya, lebih tepat lagi 11 juta Yen, bersamaan RM414,128. Baik, kami bagi masa untuk anda hadamkan…
Harga ini bermakna ia telah berjaya memecahkan rekod Civic Type-R EK9 sebelum ini yang terjual pada harga kira-kira RM300k.
Unit berwarna Pheonix Yellow yang dikongsi oleh BHP Imports ini berada dalam keadaan sangat baik, malah tempat duduknya pun masih berbalut plastik! Bahagian lain seperti roda stereng, kemasan kulit, tempat duduk Recaro dan panel pintu semuanya nampak tidak berusik.
Dan bacaan perbatuan EK9 ini hanyalah 411km! Memang tak bergerak sangat ni!
Jentera ikonik ini mendapat resepi dari segala pengalaman Honda di litar lumba. Enjin B16B 1.6-liter VTEC 4-silinder dengan 185hp dan 160Nm, kotak gear manual 5-kelajuan nisbah rapat, LSD, suspensi double-wishbone di semua penjuru, tempat duduk Recaro, dan stereng Momo.
Honda Civic Type-R ini boleh dikatakan seperti jentera lumba untuk jalanan. Model-model Honda pada era ini dikenali dengan pengedaliannya yang mantap serta enjin VTEC high-revving yang mampu ‘ditarik’ hingga 8,500rpm.
Adakah anda rasa harga lebih RM410k itu berbaloi dengan kereta ini? Jika anda mempunyai bajet lebih, adakah anda akan beli?
Apa pun, pemilik baharu kereta ini pasti puas hati dan tidur lena.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar