Mansory Gronos mungkin bukanlah model terpantas yang diperkenalkan syarikat talaan itu, tetapi mungkin menjadi Mercedes-AMG G63 paling menyerlah untuk bulan ini.
Diperkenalkan melalui beberapa gambar yang dimuat naik di media sosial, Gronos dihasilkan hanya dalam 10 unit, dimana setiap unit akan disertakan dengan warna kuning matte.
Warna ini digabungkan dengan pelbagai komponen dari bahan gentian karbon dan reka bentuk berkotak G-Class, dimana secara keseluruhan menjadikan SUV ini kelihatan seperti sebuah Lego bersaiz besar.
Gronos dilengkapi dengan kit badan agak kompleks dari Mansory, dimana bahagian hadapan menampilkan bampar, gril, fender dan bonet baharu yang agresif.
Syarikat talaan itu juga memberikan G63 satu set roda unik dan lampu pada bahagian bumbung. Bahagian belakang pula diubah dengan penampilan bampar dan spoiler baharu serta penutup tayar spare gentian karbon.
Tema kuning dan hitam dari Mansory diteruskan pada ruangan dalam, dimana ianya disertakan pada hampir setiap komponen seperti tempat duduk kulit, panel pintu, stereng, papan pemuka, dan ruangan lantai.
Untuk spesifikasi, Mansory Gronos menggunakan enjin V8 4.0-liter twin-turbocharged yang sama seperti Mercedes-AMG G63 biasa, namun outputnya ditala sehingga 850hp dan 1,000Nm tork.
Secara keseluruhan, SUV yang bakal diproduksi ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam 3.5 saat, dan mempunyai kelajuan maksima yang dihadkan pada 250km/j.