Jualan kereta hampir sifar bulan ini berikutan penutupan bilik pameran dan pengeluaran diberhentikan semasa fasa pertama sekatan pergerakan penuh bermula sejak 1 Jun lalu.
Lapor Berita Harian, berdasarkan purata harga jualan kenderaan RM70,000 seunit di Malaysia, industri automotif negara dianggarkan rugi sekitar RM3.44 bilion jika tiada rekod jualan bulan ini.
Tidak dinafikan kebanyakan pengeluar memanfaatkan platform jualan dalam talian, tetapi kekangan proses dokumentasi pinjaman dan pendaftaran boleh menjadi penyebab urusan jual beli mungkin tertangguh.
Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata jangkaan tanpa jualan mungkin berlaku ketika semua bilik pameran dan rantaian pengeluaran ditutup sementara dengan kekurangan cip komputer juga menjejaskan beberapa pengeluar.
“Jika ada stok di bilik pameran, kakitangan masih boleh mendaftar dengan JPJ dalam talian. Bagaimanapun, saya tidak fikir ia akan membabitkan jumlah yang besar,” katanya.
Jualan kenderaan merosot 19 peratus kepada 46,663 unit pada Mei, berbanding 57,912 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
MAA berkata, jualan bulan lalu lebih rendah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari pertengahan hingga akhir Mei.
Setakat Januari hingga Mei, jumlah keseluruhan industri (TIV) automotif tempatan berada pada 245,932 unit berbanding 128,790 unit dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Dalam kenyataan sebelum ini, MAA berkata, jualan bulan ini dijangka minimum disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang menyaksikan bilik pameran tidak dibenarkan dibuka.
Malah, kebanyakan agensi kerajaan seperti JPJ, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ditutup atau beroperasi dengan jumlah kakitangan yang minimum.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar