Hennessey Mammoth 1000 TRX trak pikap berkuasa 1,000hp yang mampu mencabar supercar

1752

Dodge Ram 1500 TRX 2021 sebuah trak pikap yang sudah cukup berkuasa, namun itu tidak bukanlah penghalang untuk Hennessey Performance menambahkan lagi prestasinya.

Susulan pengumuman mereka pada Januari lepas untuk melancarkan trak pikap berkuasa 1,012hp dan 1,313Nm tork, jadi baru-baru ini mereka mempertontonkan 20 unit pertama supertruck itu di Texas.



Diberi nama Mammoth 1000 TRX, jentera ini mampu melonjak dari pegun ke 60 batu sejam (96km/j) hanya dalam 3.2 saat dan melepasi quarter-mile (400 meter) dalam 11.4 saat pada kelajuan melebihi 190km/j. Ya, ia masih sebuah trak pikap.

Sebagai perbandingan, Dodge Ram 1500 TRX standard menjana 702hp dan 881Nm tork, dan mampu melakukan pecutan sama dalam 4.5 saat dan melepasi quarter-mile dalam 12.9 saat.

Sementara itu, Ford pula sedang mempersiapkan F-150 Raptor R yang dikhabarkan akan mendapat enjin V8 supercharge berkuasa 760hp dari Mustant Shelby GT500.

Jadi apa yang dilakukan pada Mammoth 1000 TRX? Pertamanya, ia mendapat unit supercharger 2.65-liter untuk Hellcat 6.2-liter V8, pulley khas, intake beraliran tinggi, stainless-steel header, sistem ekzos beraliran tinggi, dan ECU yang ditala semula. Sistem pacuan semua-roda dan transmisi automatik 8-kelajuan dari 1500 TRX dikekalkan.

Turut diberikan ialah pakej off-road Hennessey Stage 1 yang merangkumi bampar depan kustom dengan lampu LED, rim 20-inci kustom dengan tayar off-road 35-inci, dan kit pelarasan suspensi depan.

Untuk mereka yang lebih serius di off-road, boleh memilih kit Stage 2 yang turut memberikan tayar lebih besar iaitu 37-inci berserta pemijak tepi berkuasa elektrik.

Harga untuk Hennessey Mammoth 1000 TRX bermula pada USD135,350 (RM561,905) dan mereka merancang untuk mengeluarkan 200 unit supertruck ini untuk 2021. Tempahan boleh dibuat melalui Hennessey atau di pengedar-pengedar Ram terpilih.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here