Seorang usahawan dari Kuala Krai, Kelantan sanggup menghantar jentolak miliknya sekiranya pihak berkuasa bersetuju menerima bantuannya memusnahkan kebun durian haram di di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.
Ali Omar, 34 tahun, memuat naik status berkenaan perkara itu di Facebooknya semalam sebelum ia tular.
Dia menawarkan penggunaan enam jentolak miliknya secara percuma untuk membantu anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam operasi tersebut.
“Saya lihat dengan keluasan kawasan terlibat lebih 100 hektar, sangat luas jadi ia sedikit membebankan anggota terlibat,” kata Ali.
“Dengan penggunaan lebih banyak jentolak ia akan mengurangkan beban dan masa anggota.”
Ujarnya, jika khidmat jentolak miliknya diterima, dia akan segera melakukan penghantaran jentera terbabit ke lokasi kejadian.
Tambahnya, “Saya telah berhubung dengan pegawai jabatan dan nampaknya ada maklum balas positif.
“Jadi saya berharap dengan penggunaan jentolak terbabit dapat membantu pihak jabatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ali menyokong sepenuhnya usaha kerajaan negeri Pahang membanteras peneroka haram yang telah banyak menikmati keuntungan menerusi jualan durian musang king selama ini.
“Sudah tiba masanya usaha membanteras peneroka haram dilakukan dan saya mengharapkan urusan anggota terlibat berjalan lancar,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar