Penggunaan aplikasi TikTok menjadi kegilaan media sosial seluruh dunia, jadi tidak mengejutkan apabila pengeluar kenderaan turut mengikuti peredaran masa dengan memastikan keberadaan jenama mereka di platform media sosial terkini.
Menerusi survei yang dilakukan baru-baru ini, mengejutkan BMW menjadi jenama kereta premium paling popular dalam kalangan pengguna TikTok.
Kenderaan BMW menerima tontonan sehingga 22 bilion pada 15 Jun lalu yang mana dua kali ganda berbanding Audi (9.3 bilion). Model BMW paling banyak ditonton ialah M4 (1.3 bilion) dan M3 (980 juta).
Manakala BMW X6 merupakan model paling rendah menerima tontonan iaitu 136 juta. Hasil survei juga menunjukkan model yang menerima tontonan tertinggi disebabkan penampilan dan penggunaan kereta bukannya berdasarkan jenis kenderaan misalnya SUV atau sedan.
Pemerhati automotif United Kingdom, Dick Lovett mengira jumlah tontonan menerusi penggunaan tanda pagar jenama mewah itu di aplikasi TikTok.
Angka tontonan yang tinggi juga hasil daripada interaksi BMW menggunakan aplikasi berkenaan. Misalnya pelancaran cabaran #the1challenge oleh BMW pada 2019 di platform Tiktok dan Instagram kepada influencer.
“TikTok merupakan saluran media sosial yang sangat dinamik dan berkembang pesat di peringkat global yang mana kami gunakan untuk mempromosikan jenama BMW dan menyasar generasi muda secara digital,” jelas Pengarah Pemasaran Figital Senior BMW, Jörg Poggenpohl.
@bmwusa The BMW #M4 Coupe: Excitement at every turn. #checkoutmybmw #bmwm #sportscar #manual #coupe #carsoftiktok #racing