Perodua mendaftar sebanyak 6,988 unit kenderaan pada bulan Ogos berbanding 655 unit pada bulan Julai.
Kenaikan mendadak itu susulan pembukaan semula operasi kilang dan pusat jualan secara berperingkat pada 16 Ogos lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengeluaran dan pendaftaran kereta akan meningkat berkali ganda pada bulan ini.
“Semua operasi Perodua dihentikan berikutan perintah kawalan pergerakan pada 1 Jun lalu untuk mengawal penyebaran Covid-19.
“Setakat tahun ini Perodua mendaftarkan 104,933 unit kenderaan iaitu penurunan sebanyak 12.5 peratus berbanding 119,977 kenderaan yang dijual antara Januari dan Ogos tahun lalu,” katanya.
Jadi, Perodua terpaksa menurunkan sasaran jumlah jualan kenderaan 2021 disebabkan dua faktor utama ialah kekangan waktu dan sumber. Sasaran baharu Perodua adalah 214,000 unit berbanding sebelumnya 240,000 unit (penurunan 10.8 peratus).
Menurut Zainal, keutamaan Perodua ketika ini adalah memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini.
Mengulas mengenai kekurangan cip semikonduktor, Zainal berkata Perodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar dan sebahagian besar tempahan tertunggak akan dapat dipenuhi dalam tahun ini.
“Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan para pembekal kami untuk mengehadkan sebarang gangguan yang timbul,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar