Kawasan ini merupakan daerah paling sejuk di muka bumi bahkan sekiranya anda tidak memakai lapisan pakaian tebal dan jaket bulu atau menggunakan sarung tangan, risiko luka beku adalah tinggi.
Kawasan tersebut ialah Yakutsk yang terletak jauh di Timur Rusia dan hanya 450km ke selatan bulatan Artik. Suhu purata musim sejuk selama enam bulan antara +19.5 °C (Julai) hingga -38.6 °C (Januari).
Namun, suhu boleh mencapai hingga -58°C. Apabila berada di luar selama lima hingga 10 minit muka akan mula berasa pedih.
Disebabkan itulah orang tempatan Yakutsk tidak akan berada di luar lebih daripada 20 minit, jika tidak bulu mata akan ditutupi ais begitu juga bahagian rambut yang terdedah.
Bagi menahan kesejukan ekstrem mereka akan memakai sut lengkap pakaian berbulu, sama ada but bulu rusa, topi tikus kasturi atau kot bulu musang serta sarung leher.
Bagaimana pula kenderaan boleh bertahan dengan cuaca sejuk ekstrem berkenaan. Menerusi video akaun Youtube Discover With Cenet, pemilik kereta akan berdepan masalah besar sepanjang enam hingga tujuh bulan musim sejuk.
METODE RADIKAL HIDUPKAN ENJIN SEPANJANG MUSIM SEJUK
“Jika anda ingin memandu, enjin kereta tidak boleh dimatikan. Jika enjin dibiarkan mati kereta tersebut akan dipenuhi dengan ais dan minyak enjin akan beku.
“Bahkan asap ekzos juga membeku yang menunjukkan betapa sejuknya kawasan ini,” jelasnya.
Enjin kenderaan dibiarkan hidup di tepi jalan mahupun luar rumah adalah pemandangan biasa di Yakutsk.
Itu mungkin metode radikal membiarkan enjin hidup sepanjang musim sejuk. Lagipun siapa yang ingin mencuri pada suhu -50°C?, kerana penduduk lebih memilih tidak keluar rumah.
Apa yang mereka lakukan adalah membiarkan enjin kereta dan alat penggera hidup dan menggunakan kunci kedua untuk membuka pintu kereta.
Selain itu, pengguna akan memakir kereta di kawasan lereng agar air tidak berkumpul dalam ekzos. Sekiranya enjin mati untuk menghidupkannya semula adalah sukar.
Salah satu kelemahan utama menhidupkan enjin sepanjang masa adalah penggunaan bahan bakar. Jika sebuah kereta diparkir lama dalam keadaan sejuk, tayar akan menjadi keras dan berbentuk empat segi.
GARAJ DENGAN CIRI PEMANAS
Walaupun ada kenderaan meletakkan pelindung khas di depan hud kadang kala ia tidak dapat membantu.
Buat mereka yang mampu akan meletakkan kereta dalam garaj dengan ciri pemanas. Dianggarkan kos pemasangan sistem berkenaan sekitar AS530 (RM2,219).
Ciri pemanas itu dihidupkan menggunakan alat kawalan jarak jauh dan selepas sejam lebih enjin kereta sedia untuk dinyalakan.
SELIMUT SELURUH BADAN KERETA
Garaj mudah alih tidak murah tetapi sangat berguna. Di Yakutsk biasanya ia didatangkan dalam bentuk selimut yang diregangkan menutupi badan kereta agar tidak membeku. Harganya bergantung pada ukuran kenderaan.
Apabila kereta tidak digunakan untuk waktu yang lama, kain akan di tarik dari atas kemudian diketatkan di bahagian bawah. Paip getah diletakkan pada peredam bagi mengeluarkan gas ekzos.
Kereta tidak akan membeku dan boleh digunakan sepanjang musim sejuk.
SELIMUT ENJIN
Selain itu, selimut hud enjin juga popular dalam kalangan penduduk tempatan. Apabila suhu mencapai -50°C atau -60°C kenderaan tanpa perlindungan akan membeku dalam tempoh beberapa minit saja.
Kesemua bahan bendalir akan membeku manakala komponen getah akan menjadi rapuh dan tingkap ditutupi ais. Kerana itu ada antara pengguna meletakkan selimut pada hud enjin walaupun ketika bergerak.
Selimut itu memanaskan enjin dengan cepat atau melambatkan proses penyejukkan ketika kereta berhenti. Bahkan ada antara pengguna membuat selimut untuk bahagian bateri.
Ada juga yang meletakkan fabrik tebal diperbuat daripada bulu biri-biri untuk memastikan lantai kabin tetap hangat.
TINGKAP TAMBAHAN
Pemandu boleh meletakkan lapisan kedua tingkap atau filem dari bahagian dalam bagi memerangkap haba panas sebanyak mungkin.
Kebanyakan pemilik memasang lapisan kedua cermin depan bagi menghalang cermin utama retak ketika memandu bahkan ada yang tidak menggunakan pengelap cermin ketika musim sejuk.
VIDEO
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar