Syarikat konglomerat Stellantis mengambil alih keseluruhan syarikat Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd dan kilang pengeluaran di Gurun, Kedah bermula 28 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan nilai kos pengambilalihan dan berdasarkan rekod kos pembinaan kilang Gurun yang memulakan operasi pada 2004 itu bernilai RM700 juta.
Menurut Stellantis, lebih 170 kakitangan kilang kembali bertugas (setelah ditutup ketika perintah kawalan pergerakan) dan syarikat tersebut berurusan dengan lebih 50 pembekal tempatan ketika pengeluaran meningkat bagi suku terakhir tahun ini.
Naib Presiden Kanan, Pengedar Am dan Asean di Stellantis, Christophe Musy berkata, syarikat komited untuk meningkatkan kehadirannya di Asean dan pengambilalihan kilang tersebut adalah langkah penting ke arah meneguhkan operasi, output pengeluaran dan tenaga manusia di rantau ini.
Pengeluaran kilang di Gurun bermula semula dengan pelancaran model naik taraf Peugeot 3008 dan 5008 yang diperkenalkan ke seluruh rantau ini, setelah meraih kejayaan di Eropah.
Di samping itu, model Peugeot 2008 juga akan mula dipasang bulan ini di Gurun, membawakan model SUV kompak mewah ke pasaran Asean.
Tambahnya, kilang itu bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi bagi meningkatkan kapasiti kilang ke paras hampir 40 peratus bagi memenuhi permintaan dan digabungkan dengan pelan produk kami yang kuat.
Untuk makluman Stellantis merupakan gabungan syarikat Perancis Group PSA dan Fiat Chrysler Automobiles atau FCA. Jenama kenderaan di bawah syarikat berkenaan adalah Peugeot, Citroen, DS Automobiles, Opel, Vauxhall, Chrysler, Dodge, Ram, Jeep, Abarth, Alfa Romeo, Lancia dan Maserati.
BACA>>Peugeot dedah 508 PSE sedan dan wagon – model paling berkuasa dengan sistem PHEV, 355hp dan 520Nm
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar