Seorang pemandu kereta api Jepun menyaman majikannya selepas gajinya dipotong sebanyak 56 Yen (kira-kira RM2.04) akibat kelewatan seketika kepada sistem rel di negara itu yang terkenal kerana menepati masa.
BBC News melaporkan, syarikat kereta api JR West mendenda lelaki itu yang menyebabkan kelewatan operasi selama satu minit pada Jun 2020. Biarpun ketika itu dia memandu kereta api tanpa penumpang pada waktu berkenaan.
Berikutan itu, pekerja terbabit menuntut 2.2 juta Yen (RM80,362) sebagai ganti rugi untuk penderitaan mental akibat kejadian berkenaan.
Berdasarkan laporan laman berita Jepun, Soranews24, lelaki itu dijadualkan memandu kereta api kosong ke stesen Okayama di selatan negara itu, tetapi tiba di platform yang salah, sementara menunggu untuk mengambil alih tugas daripada pemandu sebelumnya.
Sebaik sahaja mengetahui kesilapannya, dia terus bergegas ke platform yang betul. Ketika proses pertukaran pemandu itu, berlaku kelewatan dua minit. Ia membabitkan seminit untuk kelewatan pelepasan kereta api, manakala seminit kelewatan lagi bagi penyimpanan kereta api di depoh.
Akibat kejadian itu, JR West memotong gaji pemandu itu sebanyak 85 yen (RM3.10), tetapi kemudian bersetuju untuk mengurangkannya kepada 56 Yen selepas pemandu berkenaan merujuk kes berkenaan ke Pejabat Pemeriksaan Standard Buruh Okayama.
Namun, dia enggan menerima pengurangan berkenaan dan mendakwa kelewatan berkenaan tidak menyebabkan gangguan sebenar kepada jadual atau penumpang kerana kereta api itu kosong pada kejadian.
Bagaimanapun, pekerja itu enggan menerima pengurangan itu dan berhujah bahawa kelewatan itu tidak menyebabkan gangguan sebenar kepada jadual waktu atau penumpang kerana kereta api itu kosong semasa kejadian.
Tetapi syarikat itu berkata ia menggunakan prinsip “tiada kerja, tiada gaji”, seperti yang berlaku untuk pekerja lewat atau tidak hadir yang tidak dapat dijelaskan.
Pemandu itu membawa kesnya ke Mahkamah Daerah Okayama pada Mac, di mana dia kini menuntut ganti rugi.