Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu tidak dapat dibuka untuk perkhidmatan berbayar bulan ini seperti dijadualkan susulan ujian belum lengkap.
Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, laluan berkenaan dijangka sedia dibuka pada suku kedua tahun depan.
Jelasnya, pihak syarikat menjalankan banyak operasi percubaan, termasuk pemeriksaan terperinci akhir dan penambahbaikan subsistem untuk menyelesaikan isu data tertiari bagi memastikan perkhidmatan beroperasi dalam keadaan baik.
“Oleh itu, kami tiada pilihan lain kecuali menangguhkan pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu. Justeru, MRT Corp tidak dapat mengambil alih aset MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu daripada kontraktor serah kunci yang dilantik.
“Tren MRT mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan mengumpul banyak data. Selepas meneliti data itu, kami dapati antara beratus-ratus modul sistem dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi lebih lanjut.
“Kami perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga stabil sebelum dapat mengambil alih aset ini dan meluluskannya untuk operasi,” katanya.
Operasi percubaan untuk MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu berjalan sejak 29 April 2021 yang mana melibatkan ujian 16 tren antara Stesen MRT Damansara dan Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh tetapi tanpa penumpang dalam simulasi operasi sebenar.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar