Desas-desus mengatakan harga alat ganti kenderaan naik mendadak, sehingga 60 peratus dalam tempoh terdekat ekoran masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan.
Hal ini dikatakan, susulan dari pembukaan semula semua sektor ekonomi dan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
Namun, mengenai kesahihan kenaikan harga 60 peratus pastinya akan menggusarkan pemilik bengkel kenderaan dan secara tidak langsung bakal menekan pemilik kenderaan jika kenaikan harga servis terlalu mendadak.
Selain itu, jangkaan harga untuk kenderaan baharu juga mungkin meningkat kerana pengeluar terpaksa merombak semula senarai harga bagi servis dan penyelenggaraan berkala model-model jualan mereka.
Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai pengusaha yang menaikkan harga alat ganti kenderaan terlalu tinggi boleh melaporkan terus kepada kementerian itu.
“Konsumer boleh memberi maklumat lebih lanjut seperti lokasi, barangan serta harga pihak kami akan menyiasat mengenainya kerana kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan pada waktu sukar seperti sekarang.
“Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang aduan harga alat ganti kenderaan naik 60 peratus, namun pihak kami akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pengusaha yang tidak bertanggungjawab.
“Jika sebelum ini harga RM5, tetapi tiba-tiba menjadi RM20 boleh terus buat aduan kepada KPDNHEP,” kata Datuk Rosol Wahid.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar