Transaksi tol RFID penuh berkuatkuasa 15 Januari 2022 di lebuhraya PLUS

2695

Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari 2022.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan media menjelaskan pelaksanaan itu akan menjadikan lorong RFID tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung selaras dengan kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.



“Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” katanya. 

Transaksi tol menggunakan RFID adalah langkah kementerian mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol dan pelaksanaan itu selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.

KKR sehubungan itu mengajak pengguna lebuh raya untuk beralih kepada RFID dan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30kmj serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here