Baru-baru ini, Toyata yang memperkenalkan 15 konsep kenderaan eletrik pelbagai segmen, yang bakal diproduksi oleh syarikatnya secara berperingkat menjelang 2030, dan salah satu daripadanya adalah sebuah kereta sport.
Namun, menjadi sebahagian teka-teki iaitu kereta sport tersebut mempunyai lambang GR pada bampar depan yang menampilkan ciri-ciri ikonik sebuah MR2. Sejak model generasi pertama, MR2 sememangnya dihasilkan sebagai kereta sport dua pintu, dua tempat duduk dengan enjin diletakkan di tengah belakang pemandu.
Semua sudah sedia maklum, keluarga Gazoo Racing kini sudah pun melengkapkan gelaran The Three Brothers yang terdiri daripada barisan GR Supra, GR Yaris, dan GR 86. Namun masih ada khabar angin mengatakan Toyota masih berminat untuk mengeluarkan MR2 generasi keempat.
Ia bukan sahaja hadir dengan hanya dua-pintu dan dua tempat duduk, malah ia turut direka dengan muncung yang rendah bersama fender hadapan berotot, diberikan liang udara dibelakang pintu serta bumbung yang boleh dicabut seperti MR2 AW11 dan SW20 sebelum ini.
Selain dari namanya yang kini hanya dikenali sebagai ‘Sports EV’, dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya dari bateri, serta sah bakal muncul dalam pasaran selewat-lewatnya pada 2030, namun tiada sebarang perincian lain didedahkan.
Dikatakan walaupun dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya, model-model EV Toyota ini masih menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan berdasarkan apa yang telah dibuat pada GR Supra, GR Yaris dan juga GR 86 sedia ada.
Sama ada Sports EV ini benar-benar adalah model pengganti MR2, atau sememangnya akan dikenali sebagai “GR MR2”, masih perlu menunggu sehingga Toyota mengeluarkan sebarang petunjuk dan pengumuman baharu.
GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar